30 Mei 2012

Isu tanah: MB Johor dicadang debat dengan Salahudin

9 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Johor mencadangkan satu debat diadakan menemukan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berhubung isu tanah di negeri itu.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata terdapat banyak masalah yang berkaitan dengan tanah yang sering diperkatakan oleh rakyat negeri itu di segenap lapisan.

Rakyat pula mahu melihat apakah altenatif yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri dan pembangkang dalam menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda PAS menawarkan kepada mana-mana pihak khususnya media dan NGO di Negeri Johor untuk menjadi penganjur kepada perdebatan ini.

"Setakat ini pihak Salahuddin Ayub sudah bersetuju untuk berdebat. Tempat yang selayaknya untuk berdebat adalah di Persada, Johor Baharu," katanya sambil menambah bahawa tarikh, masa, format dan lain-lain bolehlah diuruskan oleh pihak penganjur.

Sebelum ini banyak masalah tanah dibangkitkan khususnya di negeri Johor.

Bermula dengan isu Johor kehilangan Pulau Batu Puteh, penyerahan Tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) Tanjung Pagar, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor(KPRJ) sebagai broker tanah kerajaan Johor, Projek Perlabuhan Tanjung Pelepas(PTP), Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID), Pengerang, kehilangan tanah Simpanan Melayu, tanah orang asli dan masalah tanah SEDC Tampoi.

Selain itu masalah projek kerjasama Taman Desa Kempas yang terbengkalai, peneroka kehilangan tanah Felda Cahaya Baru, tanah Skudai Kiri dan lain-lain lagi. Semua isu-isu ini memerlukan jawapan-jawapan yang telus daripada kerajaan.

Sehubungan itu kata Zuhaizan, banyak pihak termasuk anak-anak muda mahu kedua-dua tokoh ini berdebat mengutarakan cadangan penyelesaian masing-masing.

"Pemuda PAS Johor penuh yakin Y.A.B Dato Abdul Ghani Othman Menteri Besar Johor tidak akan mengecewakan rakyat Johor untuk berdebat.

"Semoga rakyat akan mendapat manfaat berganda hasil daripada perdebatan ini," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: