04 Mei 2012

Johor FC harap sentuhan Sazali

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SENTUHAN Ketua Jurulatih Sazali Saidon ditagih dalam usaha memperbaiki kedudukan pasukan dalam Liga Super selepas peletakan jawatan K Devan, April lalu.

Sazali bukanlah ‘orang baru’ dalam pengurusan Skuad Lebah, sebaliknya pernah membantu jurulatih terdahulu, Ramlan Rashid pada 2008 dan berjaya meletakkan pasukan ke tangga ketiga Liga Super selain melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Azuan Zain pada 2010 dan sekali lagi membawa pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Apa yang kita perlukan adalah kemenangan ke atas PKNS FC, Selasa depan dan ia penting untuk meningkatkan keyakinan pemain.

“Dari segi komitmen pemain tiada masalah, cuma nasib tidak menyebelahi kita. Saya berharap selepas tempoh rehat yang lama, akan ada perubahan­ positif pada perlawanan pertama sebagai ketua jurulatih nanti.

Sazali turut mengharapkan semangat juang pemain senior, Khairul Ismail dan kapten, Kaironissam Sahabudin serta Fauzi Saree selain pemain import Johor FC, Arthur Henrique dan Fernando Augusto untuk memimpin kebangkitan Skuad Lebah.

Sementara itu, Setiausaha Johor FC, Tahir Hamdan berpuas hati apabila pasukan tidak dikenakan hukuman bermain di laman sendiri tanpa penyokong berikutan kegagalan mengawal penyokong ketika menentang Lions XII, 7 April lalu.

“Kita bertuah kerana didenda RM20,000 sahaja. Hukuman beraksi tanpa penyokong sendiri hanya ‘bencana’ kerana mengganggu kutipan jualan tiket selain kehilangan sokongan peminat.

“Johor FC diberikan amaran terakhir oleh Jawatankuasa Disiplin FAM, dan kami merayu kepada penyokong agar tidak berkelakuan liar jika mahu bantu pasukan perbaiki kedudukan liga,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: