04 Mei 2012

Perak harap sentuhan Albert

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GHAIRAH buru kedudukan terbaik Liga Super, penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengharap sentuhan magis pemain import Cameroon, Albert Bodjongo Dika yang menggantikan Lazar Popovic dalam misi mencari mata pada saingan pertama, pusingan kedua Liga Super hari ini.

“Aksi Albert diharap mampu memastikan bahagian serangan tidak tumpul untuk memberikan kemenangan buat Seladang lebih-lebih lagi selepas dia berjaya mencipta keserasian dengan kejayaan menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut mengambil kesempatan­ atas faktor keletihan dan kejatuhan moral Terengganu sebagai strategi utama berkunjung ke Kubu Sang Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti, bekas penyerang kebangsaan ini tekad memburu mata bagi memintas skuad penyu yang kini berada tangga keempat dengan perbezaan dua mata.

“Di atas kertas, Perak ternyata punya banyak kelebihan terutama dari segi persediaan mental dan fizikal jika dibandingkan dengan pihak lawan yang diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga lebih-lebih lagi dengan ketiadaan penyerang import utama, Forkey Doe yang dibelenggu kecederaan.

“Malah kekalahan skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris dalam perlawanan separuh ­akhir­ Piala FA Selasa lalu turut menyuntik semangat Skuad Seladang untuk memastikan tiga mata berharga berjaya dibawa pulang ke Ipoh,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: