04 Mei 2012

Kena tembak selepas beli gula-gula

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

NASRUR yang cedera dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Seorang wanita tidak menyangka jeritan jiran memberitahu ada orang kena tembak di Taman Sentosa Jaya, Badang dekat sini semalam rupa-rupanya membabitkan suami sendiri yang cedera ditembak oleh dua lelaki berpakaian serba hitam.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Nasrur Alimin Mohamad, 34, ditemui cedera parah akibat terkena beberapa das tembakan di betis kanan dan ditetak di kepala dan pergelangan tangan kanan.

Cerita isteri mangsa, Ira Shamimi Shamsuddin, 24, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pembekal peralatan makmal di hospital di sini singgah di sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai prabayar dan gula-gula sebelum pergi ke tempat kerjanya di sini.

“Tidak lama selepas suami keluar rumah, saya terdengar bunyi letupan bagaikan mercun menyebabkan saya keluar dari rumah untuk melihat apa bunyi itu.

“Sebaik saya jenguk ke luar rumah, saya nampak pemilik kedai runcit itu melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan dalam masa sama saya terdengar jiran menjerit ada orang kena tembak,” cerita Ira yang tidak bekerja ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Kata Ira lagi, dia kemudian cuba menghubungi suaminya untuk memberitahu kejadian tersebut tetapi panggilan itu tidak dijawab sebelum ada jiran datang ke arahnya dan memaklumkan suaminya cedera terkena tembakan.

kosmo/-

Tiada ulasan: