04 Mei 2012

Skuad hoki wanita gagal layak ke Olimpik

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SKUAD hoki wanita negara ditimpa kekalahan berterusan dalam pusingan kelayakan Olimpik apabila tunduk 2-3 kepada Austria pada perlawanan ‘round-robin’ akhir di Kakamigahara, Jepun, semalam.

Meskipun Malaysia berjaya mendahului 2-1 pada separuh masa menerusi jaringan Norbaini Hashim dan Siti Rahmah Othman (minit ke-20 dan 27), Austria berjaya bangkit pada babak kedua perlawanan dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi Larta Maginja sebelum Sandner muncul wira dengan gol kemenangan pada minit ke-67.

Kejayaan tipis itu merupakan kemenangan pertama bagi Austria selepas lima perlawanan dan menduduki tangga kelima dalam saingan enam pasukan dengan mengumpul tiga mata.

Malaysia yang muncul pasukan tercorot dengan hanya mampu mengutip satu mata, hasil keputusan seri 2-2 dengan Belarus sebelum ini, gagal layak ke Sukan Olimpik London, Julai nanti. Bagaimanapun, Malaysia mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan dengan Austria apabila kedua-dua pasukan itu bertemu sekali lagi pada perlawanan menentukan tempat kelima, esok.

Dalam saingan kelayakan Olimpik, Malaysia mengalami kekalahan di tangan pasukan Azerbaijan 0-4, Jepun (0-8), Chile (1-2) dan 2-3 kepada Austria.

Sinar Harian

Tiada ulasan: