04 Mei 2012

Sime Darby enggan dabik dada

12 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MENANTI kunjungan Perlis dalam perlawanan di Stadium Selayang, malam ini, Sime Darby FC dilihat tidak mempunyai sebarang masalah mengutip tiga mata jika dilihat prestasi memuncak pasukan berstatus kelab berkenaan.

Enggan mendabik dada dengan prestasi cemerlang anak didiknya, jurulatih Ismail Zakaria, tetap percaya saingan sengit bakal dijelmakan pasukan pelawat.

“Prestasi semasa tidak boleh dijadikan penentu kemenangan dalam setiap perlawanan akan datang kerana dalam permainan bola sepak apa boleh berlaku dan kemenangan hanya ditentukan di atas padang dalam tempoh 90 minit.

“Dilihat pada perkembangan semasa, kita akui tahap keyakinan pemain untuk memenangi setiap perlawanan adalah positif namun itu bukanlah bererti kita memandang rendah keupayaan lawan.

“Setiap pemain telah diberikan tanggungjawab untuk bermain seperti biasa dan lupakan seketika kejayaan menewaskan Terengganu untuk mara ke pentas akhir Piala FA.

“Pemain memahaminya dan tumpuan mereka lebih terarah kepada persaingan dalam Liga Perdana,” katanya.

Mengakui tempoh masa rehat yang singkat selepas saingan piala FA, Selasa lalu dan hari ini beraksi menentang Perlis tidak boleh dijadikan alasan pemain mampu mempamerkan persembahan berkualiti.

“Keletihan tidak boleh dijadikan alasan kerana kita mempunyai ramai pemain berkebolehan.­ Tiga mata perlu dikutip kerana sasaran kita untuk mendaki takhta liga,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: