13 Jun 2012

Apa maksud PM umum Kelantan negeri termiskin

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan maksud pihak kerajaan apabila beliau mengumumkan Kelantan sebagai negeri termiskin dalam satu majlis di negeri Sabah.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain (gambar) turut meminta penjelasan adakah lawatan Perdana Menteri ke Kelantan yang agak kerap kebelakangan ini bertujuan merancang untuk membawa negeri itu keluar dari masalah ini.

Beliau mengemukakan soalan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berikut ialah soalan-soalan daripada ahli parlimen PAS bagi jawab lisan di Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah usaha untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti perkhidmatan kesihatan seluruh negara serta pertambahan peruntukan kesihatan negara berbanding dengan yang ada sekarang hanya 4.3% daripada KDNK.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Sivik menjadi mata pelajaran wajib untuk Penilaian Berdasar sekolah (PBS). Di Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat tidak menawarkan mata pelajaran ini kerana kekurangan guru dan kemudahan. Perkara ini juga baru dimaklumkan. Apakah langkah Kementerian untuk mengatasi perkara ini.

Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan jumlah penonton berita RTM 1, RTM 2, TV 3, NTV 7, CNN, BBC dan Al-Jazeera di Malaysia pada tahun 2011.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan statistik kelahiran anak luar nikah di kalangan orang Islam bagi tempoh 2007-2011 dan nyatakan langkah-langkah bagi
membendung gejala ini dan keberkesanannya.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan bila tarikh sebenar Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra Kota Bharu akan dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya.

Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
(a) maksud pihak Kerajaan apabila YAB. Perdana Menteri mengumumkan Kelantan sebagai negeri termiskin dalam satu majlis di negeri Sabah; dan
(b) adakah lawatan YAB. Perdana Menteri ke Kelantan yang agak kerap kebelakangan ini bertujuan merancang untuk membawa negeri itu keluar dari masalah ini.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah pendirian dan usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia terhadap konflik di Syria.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan:-
(a) status pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja dalam industri; dan
(b) kejayaan latihan dan penempatan siswazah yang menganggur.

Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan berapakah peruntukan kepada MADA untuk petani menghadiri program Rural Tranformation Centre (RTC) pada 4 Mei 2012 di Kota Bharu Kelantan.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa banyak kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang diperlukan untuk industri minyak dan gas negara, berapa yang didaftarkan di Malaysia dan nyatakan berapa banyak yang dimiliki Bumiputera dan berapa banyak yang dimiliki bukan Bumiputera.

Harakah Daily

Tiada ulasan: