13 Jun 2012

PAS sampai bantuan pertama kepada pelarian Syria

23 Rejab 1433H. [MOD] -

ANTAKYA (Syria): PAS menghulurkan bantuan pertamanya kepada pelarian Syria yang sedang berlindung di bandar sempadan Turki dan Syria ini akibat konflik politik di negara itu.

(Dr Syed Azman menyampaikan sumbangan kepada Abu Ahmad, wakil Ikhwan Syria)

Penolong Setiausaha Agong PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad berada di sempadan Turki dengan Syria semalam untuk menghulurkan bantuan segera kepada ribuan pelarian Syria yang terpaksa melarikan diri ke Turki selepas konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.

Ini adalah merupakan bantuan terus yang pertama dari PAS yang disampaikan kepada rakyat Syria yang terperangkap dalam konflik berdarah yang masih tidak menampakkan jalan penyelesaian itu.

Dr. Syed Azman telah berjaya sampai ke bandar Antakya yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi membantu pelarian Syria di sana.

Berbekalkan sedikit bantuan dari rakyat Malaysia sebagai mewakili seluruh kepimpinan PAS, bantuan telah berjaya di laksanakan di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan kepada wakil Ikhwan Muslimin Syria.

Bantuan tersebut berbentuk dana untuk membeli bahan-bahan perubatan, makanan dan pendidikan anak-anak di kem pelarian di sempadan Turki-Syria.

Kedua-dua perkhemahan pelarian tersebut kini dikendalikan oleh pihak Bulan Sabit Turki.

Sementara itu anak-anak kecil yang terpaksa menjadi pelarian amat bergembira apabila sedikit buah tangan dalam bentuk buah-buah dan cokelat telah di sampaikan kepada mereka.

Begitu juga dengan golongan dewasa yang berterima kasih di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi meringankan bebanan yang di hadapi oleh mereka.

Adalah dianggarkan kini lebih dari 30,000 pelarian terpaksa tinggal di khemah pelarian di sempadan Turki-Syria sejak meletusnya konflik berdarah ke atas rakyat Syria pada awal tahun 2011.

Begitu juga dengan bantuan kepada pelarian di sempadan Jordan-Syria terutamanya pelarian yang kini tinggal di Mafraq dan Ramsa.
Berdasarkan fakta yang diperolehi daripada NGO yang beroperasi di sempadan, bantuan sangat diperlukan di kem-kem pelarian di Turki, Lubnan dan Jordan.

Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS.

Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sentiasa mengikuti dengan teliti setiap perkembangan yang sedang berlaku disana, beritahu Syed Azman kepada Harakahdaily.

PAS, katanya juga, Insyallah melalui NGOnya akan menghantar satu Misi Kemanusiaan Pelarian seberapa segera bgi terus membantu pelarian yang amat memerlukan bantuan kemanusiaan itu.

"Semoga sedikit bantuan yang disalurkanini akan dapat mengubat kepedihan pelarian Syria di sempadan Turki seterusnya memastikan generasi muda mereka tidak terpinggir daripada pendidikan," katanya lagi.

Sumbangan kepada rakyat Syria boleh terus disalurkan kepada akaun Maybank atas nama Parti Islam SeMalaysia nombor 564070703248.

Harakah Daily

Tiada ulasan: