13 Jun 2012

Curi kambing: Penganggur dijel empat bulan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Padah mencuri kambing! Seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat bulan selepas didapati bersalah atas pertuduhan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly, menjatuhkan hukuman itu terhadap Ibrahim Dollah, 47, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Ibrahim serta tiga rakannya, yang masih bebas melakukan perbuatan itu pada 5 April lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kampung Puteh dengan niat mencuri haiwan terbabit milik Siti Fatimah Mat bernilai RM500.

Atas kesalahan terbabit, Ibrahim dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Ibrahim disoal oleh Mohd Fazaly sama ada, dia mencuri kambing itu untuk dimakan sendiri atau dijual.

Tertuduh hanya menggeleng-gelengkan kepala dan menundukkan ketika berada dalam kamar mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad dan menurutnya, hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran kepada Ibrahim dan menjadi teladan kepada masyarakat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: