13 Jun 2012

Najib Perlu Umum Awal Tarikh Pilihan Raya

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 13 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lebih awal bagi mengelakkan masalah kepada pengundi beragama Islam yang akan menunaikan ibadah haji.

Saranan itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob sebagai respon kepada media pro Umno-BN yang mendakwa Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru agar ahli parti itu membatalkan ibadah haji untuk menghadapi PRU-13 jika dibuat ketika musim haji.

Tetapi sebenarnya, Tuan Ibrahim hanya meminta ahli parti yang terlibat secara langsung sahaja untuk menangguh ibadah haji sekiranya PRU-13 berlangsung pada tarikh tersebut.

“Untuk mengelakkan konflik atau sebarang masalah kepada umat Islam adalah lebih baik Najib umumkan dengan segera tarikh PRU-13 supaya ia menjadi satu kemudahan kepada rakyat khususnya umat Islam untuk menunaikan ibadah haji,” kata Salahuddin.

Namun jelasnya, Najib berkemungkinan tidak akan mengadakan PRU-13 semasa musim haji.

Bagi Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, kenyataan yang disuarakan Tuan Ibrahim itu sekaligus menolak dakwaan media pro Umno-BN yang mengatakan kononnya tindakan parti itu adalah tidak berlandaskan Islam dan seolah-olah mempermainkan hukum agama.

Beliau berkata, jika pilihan raya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk pergi ke Makkah.

Malah tegasnya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan Kerajaan Pusat meletakkan rakyat dalam situasi serba salah dan menafikan hak pengundi.

selangorku/-

Tiada ulasan: