13 Jun 2012

Makmal dadah terbakar

23 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Kebakaran sebuah kilang di Pekan Nenas, Pontian kelmarin, membawa kepada penemuan makmal pemprosesan dadah yang dipercayai bernilai RM10 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan kejadian kebakaran jam 1.30 petang itu yang didaftar sebagai kilang membuat makanan sejuk beku bagaimanapun dijadikan sebagai makmal dadah.

“Kira-kira jam 2.30 petang, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian menerima maklumat berhubung penemuan itu dan terus bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

"Hasilnya, mereka menemui dadah yang sedang dan telah siap diproses serta makmal memprosesnya dalam kilang terbabit.

“Sejurus menerima maklumat itu, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor terus ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, kilang berkeluasan kira-kira 500 meter persegi itu kini ditutup bagi keselamatan.

“Unit forensik dari Polis Johor dan Bukit Aman kini sedang sedang melakukan siasatan dan mengumpul bahan bukti untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan,” katanya.

Jelasnya polis juga telah mengenal pasti individu dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dadah berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: