13 Jun 2012

Lebih 50 maut gempa di Afghan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SALAH satu lokasi yang mengalami gegaran gempa bumi di wilayah Baghlan kelmarin.

MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan - Lebih 50 orang dikhuatiri terbunuh dalam runtuhan akibat dua gempa bumi yang menyebabkan tanah runtuh sekali gus meranapkan rumah-rumah di utara Afghanistan semalam.

Sehari selepas gempa itu berlaku, kira-kira 50 hingga 70 orang mungkin terperangkap di bawah runtuhan di daerah Burka.

Daerah itu merupakan kawasan yang paling banyak mengalami kemusnahan.

"Mereka mungkin telah mati kerana terdapat banyak runtuhan tanah. Menggali tanah itu agak sukar," kata gabenor di wilayah Baghlan, Munishi Abdul Majeed.

Ketua pasukan bantuan bencana alam tempatan, Mohammad Nasir Kohzad berkata, lebih banyak pasukan menyelamat dari Kabul telah dihantar ke lokasi bencana.

Dua gempa bumi berukuran 5.4 dan 5.7 pada skala Richter itu menggegarkan kawasan pergunungan Hindu Kush selang setengah jam kelmarin.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 170 kilometer ke utara Kabul.

Gempa bumi yang pertama berpusat 160 kilometer ke barat daya bandar Faizabad dengan kedalaman 15 kilometer.

Satu lagi gempa bumi berpusat di kawasan yang hampir sama. - Agensi

Tiada ulasan: