13 Jun 2012

Ikram ucap tahniah kepada kerajaan Selangor

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Pertubuhan Ikram Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor di atas kejayaannya menangani cadangan membekukan pinjaman PTPTN untuk pelajar Unisel.

Yang Dipertua Ikram Negeri Selangor, Profesor Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dalam kenyataannya berkata:

"Tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpin Menteri Besarnya, Tan Sri Dato` Seri Abd Khalid Bin Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Binti Ali serta jabatan dan agensi-agensi di bawah mereka, dalam menangani dan mengurus pendidikan dan pembelajaran di Negeri Selangor."

Ketika mengucapkan tahniah kepada Selangor, Ikram melahirkan rasa terkejutnya dengan pengumuman awal oleh Menteri Pengajian Tinggi untuk membekukan pinjaman pelajaran PTPTN kepada pelajar Unisel.

"Pengumuman-pengumuman seperti ini tidak menggambarkan amalan terbaik atau 'best practice' yang membanggakan, kerana ia melibatkan kepentingan rakyat khususnya ibu bapa dan para pelajar. Tidak juga menggambarkan kematangan politik pemerintah," kata kenyataannya itu.

Ikram juga berpendapat, berdebat di televisyen demi mencari kaedah terbaik, adil dan menyeluruh bagi mencari penyelesaian kepada masalah rakyat adalah lebih baik daripada berbahas perihal skandal mana-mana ahli politik.

"Oleh itu, tahniah kepada saluran media yang memberi ruang secara bijak," katanya yang dipercayai merujuk kepada debat PTPTN antara Rafizi Ramli dengan Khairy Jamaludin Abu Bakar baru-baru ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: