13 Jun 2012

Mangsa kebakaran pelantar ke KL untuk dirawat

23 Rejab 1433H. [MOD] -

MIRI — Dua mangsa yang cedera dalam kebakaran di sebuah pelantar cari gali luar persisir Miri pagi semalam dijangka diterbangkan ke Kuala Lumpur malam tadi untuk rawatan lanjut.

Sumber memberitahu, kedua-dua mereka ialah Bernad Christopher, 39, dan Joseph Brandah Buar, 25, manakala seorang lagi mangsa, Mohd. Syahrizal Yusop, 27, masih dirawat di Hospital Miri.

Kebakaran pada pukul 9.20 pagi di skid pemampat pelantar cari gali Tukau B (TKDP-B), 31 km di luar pesisir Miri itu menyebabkan lima cedera.

Sementara itu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa kebakaran itu tidak membawa sebarang bahaya kepada alam sekitar seperti tumpahan, kebocoran dan letupan.

Hasil siasatan awal mengesahkan bahawa keseluruan struktur masih kukuh, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, siasatan masih diteruskan untuk memastikan punca sebenar kejadian. — BERNAMA

Tiada ulasan: