13 Jun 2012

Tarikh PRU: Jangan resahkan 30,000 bakal haji

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji tahun ini.

Jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jamaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

“Selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu,” keluh beliau.

Tuan Ibrahim berkata sebagai pengundi tidak seberat tekanan dibandingkan dengan seseorang yang dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

“Tambahan pula, seandainya pilihanraya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Jika ini berlaku, Tuan Ibrahim berkata ia sudah tentu akan meninggalkan kesan yang besar kepada keputusan dan peratusan keluar mengundi.

“Ini melibatkan semua parti politik, dan apa yang penting ialah hak rakyat dalam sistem demokrasi hendaklah dihormati,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut menyelar tindakan Perdana Menteri yang bermain teka-teki dalam menentukan tarikh pilihanraya.

“(Ini) telah menyebabkan banyak spekulasi terhadap apakah tarikh pilihanraya yang besar. Keadaan ini amat tidak sihat untuk negara kerana sangat mengganggu perancangan pelbagai pihak,” kata belliau.

Kebimbangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihanraya, kata beliau membuktikan bahawa prospek Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya sudah menjadi satu kemungkinan yang boleh berubah menjadi realiti di sanubari BN.

Harakah Daily

Tiada ulasan: