07 Jun 2012

Ikatan puji PAS ikhlas bina bangsa Malaysia

17 Rejab 1433H. [MOD] -

SERDANG: Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa, PAS antara parti yang sekarang ini membina bangsa Malaysia seperti yang diperjuangkan pemimpin-pemimpin awal negara.

Katanya, ianya boleh dilihat dengan slogan 'PAS untuk semua' dan menerima dan mengiktiraf orang bukan Islam sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Parti moden yang ada sekarang yang mahu membina bangsa Malaysia adalah PAS.

"Saya kenal mereka. 'PAS untuk semua' bukan slogan politik semata-mata tapi mereka ikhlas sayangkan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian Ikatan hari ini.

Majlis perasmian parti itu diadakan di sebuah hotel di Seri Kembangan, pagi ini.

Menurut beliau lagi, perjuangan PAS mempunyai banyak persamaan dengan perjuangan zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Onn Jaafar yang mahu membina bangsa Malaysia.

Dan sebab itu juga katanya, visi Ikatan adalah berpaksikan kepada "amanat merdeka bapa Malaysia" Tunku Abdul Rahman serta isi kandungan Perlembagaan Malaysia bagi membina bangsa Malaysia.

Antara isi kandungan amanah tersebut adalah rakyat berbilang kaum dan agama - Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Siam, Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain mesti ikhlas satu sama lain, jika mahu hidup satu keluarga.

Malah, setiap mereka, tidak boleh kata atau berbuat sesuatu yang menyakitkan hati atau menyusahkan hati setiap kaum.

Katanya, usaha membina bangsa Malaysia itu bagaimanapun gagal diteruskan kerajaan BN pada hari ini yang lebih mementingkan kuasa politik sehingga sanggup menggunakan isu perkauman untuk tujuan itu.

"PAS tolak rasuah sebab mereka ikut apa dinyatakan dalam al-Quran, mereka parti yang bersih, sama macam zaman Tunku," katanya lagi.

Dalam pada itu, kira-kira 200 orang hadir di majlis perasmian parti itu hari ini.

Selain Kadir sebagai presiden, Ikatan dipimpin tiga timbalan presiden iaitu bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, ahli bank Ong Hock Siew dan bekas Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan.

Manakala Presiden Uruskop Datuk Seri Mustafa Kamal Maulut dilantik menjadi setiausaha agung parti ini. Sebanyak enam orang dilantik menjadi ahli Majlis Tertinggi.

Parti itu bakal menggunakan 'tangan bersalam', sebagai logo parti.

Pada sidang media selepas itu, Kadir berkata parti itu tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang memandangkan pendaftaran parti itu belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun ia terpulang kepada ahli parti itu untuk bertanding atas tiket individu.

Ditanya kenapa beliau tidak terus sahaja menyertai PAS atau Pakatan Rakyat berbanding menubuhkan parti baru, Kadir berkata parti baru lebih memudahkan beliau merekrut sokongan rakyat kebanyakan.

Beliau juga memberitahu, Ikatan akan bergerak berdasarkan isu yang kadang kala akan sependapat dengan Pakatan Rakyat dan ada kalanya berbeza.

Harakah Daily

Tiada ulasan: