07 Jun 2012

Letupan lokasi tragedi

17 Rejab 1433H. [MOD] -

MELAKA: Satu tiang lampu terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian kematian seorang kanak-kanak Maryam Najwa Massaari, 8, akibat renjatan di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai meletup secara tiba-tiba dan mengeluarkan percikan api, tengah hari kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu turut menyebabkan satu daripada kabel di tiang berkenaan terputus dan disedari sepupu Allahyarham Maryam Najwa, Masitah Mawasi, 12, yang sedang bermain basikal bersama saudaranya di halaman rumah terletak di depan tiang elektrik terbabit.

Masitah berkata, pada mulanya dia terdengar beberapa letupan kecil sebelum melihat kabel bahagian atas tiang lampu itu mengeluarkan percikan api yang kemudian merebak membakar satu daripada wayar disambungkan ke situ.

“Letupan yang terakhir sangat kuat menyebabkan salah satu kabel pada tiang berkenaan putus sambil terbakar sebelum ia jatuh ke tanah. Saya dan saudara yang lain bertempiaran menyelamatkan diri. “Kami bernasib baik kerana tidak berada di bawah kabel yang terputus itu. Selepas itu, saya segera menjerit memberitahu kakak, Munira, 18, mengenai kejadian yang berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Pada 30 Mei lalu, Mariam Najwa maut mati dipercayai akibat terkena renjatan ketika bermain bersama adiknya, Muiz Asyraf, 3, dalam kawasan digenangi air berhampiran tiang elektrik di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai.

Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari sama, mengesahkan kematian kanak-kanak itu akibat renjatan, berpunca daripada kebocoran arus melalui tiang elektrik berikutan kerosakan pada kabel talian atas.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian kelmarin mendapati, seramai lima kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang membaiki dan menggantikan kabel pada tiang lampu terbabit.

Ibu Allahyarham Maryam Najwa, Norazlin Azmi, 33, berkata dia berada di rumah jirannya ketika kejadian dan panik apabila mendengar jeritan mengenai kebakaran itu berikutan Muiz Asyraf turut bermain di situ.

“Saya segera berlari keluar rumah untuk memastikan Muiz selamat sebelum meminta anak saudara menelefon pihak berkenaan untuk membaiki tiang lampu itu. “Saya kesal kerana kerosakan berlaku tidak sampai seminggu pemergian anak perempuan tunggal saya selain difahamkan, tiang lampu itu baru saja ditukar mentolnya semalam (4 Jun),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Norazlin berkata, pihaknya sudah menghantar maklumat berkaitan insiden menimpa Allahyarham Maryam Najwa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu bagi diserahkan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk tindakan lanjut.

METRO/-

Tiada ulasan: