07 Jun 2012

Peniaga emas disaran utama keselamatan kedai

17 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Kurangnya ciri keselamatan kedai emas, dipercayai faktor penyumbang, berlakunya kes rompakan di tiga daerah, sejak kebelakangan­ ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, pihak polis menerima laporan di tiga daerah iaitu satu kes di Tumpat, dua di Pasir Mas dan tiga di Kota Bharu.

Menurutnya, operasi mencari suspek kes rompakan­ kedai emas digiatkan, malah pihak polis akan menyiasat semua pembeli di kedai emas berkenaan.

“Kerjasama antara unit polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) juga akan menguatkan operasi mencari penjenayah berprofil tinggi,” katanya, selepas taklimat khas, di Markas Taktikal Lubok Setol.

Menurutnya, ciri keselamatan di kedai emas yang agak rendah meningkatkan­ kebarangkalian risiko dirompak.

“Penjenayah hanya memilih kedai emas yang mempunyai kelemahan, termasuk tidak mempunyai sistem penggera, kamera litar tertutup dan kedudukan kedai terpencil.

“Suspek juga mempunyai masa yang panjang untuk merompak kerana kedai emas biasanya beroperasi pada jam 12 tengah hari dan berakhir pada jam 6 petang,” katanya.

Jalaluddin berkata, peniaga juga diingatkan lebih peka sekiranya terdapat sebarang pengubahsuaian bangunan berdekatan kedai.

Beliau menasihati pemilik agar tidak leka, dan memastikan kedai berada dalam keadaan­ yang terkawal serta mempunyai sistem keselamatan­ yang canggih.

“Sekiranya peniaga memastikan ciri keselamatan bangunan yang ketat, kejadian­ seumpama ini tidak akan berlaku­,” katanya.

Sebelum ini, seorang peniaga kedai emas terpaksa berputih mata, selepas kedainya di Pasir Tumboh dipecah masuk, dua hari lalu.

Dalam kejadian itu, Lu Seing Ai, 49, mengalami kerugian kira-kira RM300,000 sejurus memulakan perniagaan­, pada jam 12 tengah hari, kelmarin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: