07 Jun 2012

RTM: Bukan masa kempen pilihan raya sahaja

17 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan kesediaan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto masing-masing menerusi RTM.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata perkara itu perlu dilakukan berterusan bukan hanya ketika musim pilihan raya semata-mata.

"Kita alu-alukan penambahbaikan tersebut kerana ia memang tuntutan kita. Cuma, saya harap ia berterusan dan bukan hanya ketika musim pilihan raya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berhubung keputusan kerajaan membenarkan parti politik membentangkan manifesto ketika kempen pilihan raya.

Rais, dalam kenyataannya berkata perkara itu diputuskan setelah kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya diluluskan jemaah menteri.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tentang had masa dan syarat-syarat yang bakal dikenakan berikutan keputusan itu.

Dalam pada itu, Nik Abduh berkata keputusan itu juga sebagai tanda kerajaan mulai sedar BN bergerak atas demokrasi yang tidak adil sebelum ini.

"Mereka sudah sedar bahawa sebelum ini mereka menghadapi pilihan raya dengan cara yang tidak adil apabila tidak memberikan akses media kepada parti-parti yang bertanding. Kita harapkan ia berterusan kerana demokrasi yang sebenar ialah demokrasi yang digunakan secara adil," kata beliau lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: