07 Jun 2012

Kereta remuk bertembung lori, dua maut

17 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Dua sahabat baik maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan dalam kemalangan di Batu Lima, Jalan Seremban - Mantin, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Lim Chun Jie, 19, dan Siow Chang Seng, 19, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di sebuah kedai bateri di Jalan Lobak, dekat sini.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta Toyota Vios dipandu Lim yang datang dari arah Mantin menuju ke Seremban dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Sebuah lori yang berada di laluan itu gagal mengelak menyebabkannya bertembung dengan kereta mangsa di bahagian hadapan.

“Kejadian itu mengakibatkan Chun Jie tersepit teruk di bahagian kaki, manakala rakannya Chang Seng terperosok ke bahagian belakang tempat duduk penumpang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 20 minit mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan, kepala dan kaki.

Katanya, pemandu lori terbabit berusia lingkungan 50-an yang turut tersepit dan mengalami cedera parah bagaimanapun terselamat dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian masih dijalankan dan mayat dua sahabat itu dihantar ke HTJ untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, bapa Chun Jie, Lim Kim Chin, 52, berkata, dia hampir pitam sebaik sahaja diberitahu saudaranya bahawa anaknya terlibat dengan kemalangan maut.Menurutnya, ketika itu, dia baru sahaja mahu memulakan kerja pendawaian di sebuah rumah di Beranang, sebelum menerima panggilan telefon.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan luluh hati saya apabila melihat keadaan Chun Jie yang sudah tidak sedarkan diri," katanya.

“Sebelum ini, dia sempat memberitahu mahu pergi ke Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya dan hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat HTJ, di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Suprintendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: