07 Jun 2012

Noraini kini bercakap dialek Kuala Terengganu pula

17 Rejab 1433H. [MOD] -

BESUT - Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di Alor Lintang, Noraini Ismail, 17 yang pernah menggemparkan negara kerana berkebolehan bertutur bahasa Korea dan Mandarin satu masa dulu kini masih belum boleh bercakap loghat daerah.

Pelajar perempuan itu dikatakan boleh bertutur pelbagai bahasa asing yang tidak pernah dipelajarinya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 13 Januari lalu.

Lebih aneh, walaupun sudah tidak boleh bertutur bahasa Korea mahupun Mandarin, tetapi dia masih belum bertutur bahasa ibundanya iaitu loghat Kelantan sampai ke hari ini.

Noraini berkata, cuma bezanya sekarang dia tidak lagi bercakap bahasa baku pelat Cina sebaliknya sekarang bercakap dialek bahasa Malaysia.

“Lidah saya langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan termasuk ingin menyebut perkataan Emok (emak). Hanya perkataan Ayoh (ayah) yang saya boleh sebut,” katanya yang juga tiba-tiba sahaja turut bertutur loghat Kuala Terengganu untuk tempoh seminggu sebelum ini.

Gadis sunti ini ditemui di tempat kerjanya di sebuah kilang papan di Kampung Seri Medang tidak jauh dari rumahnya.

Dia melakukan kerja memotong kayu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang hanya ketika musim cuti penggal persekolahan dengan pendapatan RM30 sehari.

“Saya tidak suka duduk diam dan kalau kerja di sini ketika cuti, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terutama bapa saya yang bekerja di tempat sama,” katanya yang setakat ini sudah jarang mengalami masalah sakit kepala kronik kesan kemalangan seperti sebelum ini.

Noraini berkata, dia sudah biasa bekerja di kilang papan itu sepanjang musim cuti sekolah sebelum ini.

Walaupun kerja itu kelihatan berat dan dia mengakui ada kalanya badannya sakit-sakit kerana perlu mengangkat kayu sebelum dipotong, tetapi dia gembira dengan apa dilakukannya.

Noraini yang sudah ke sekolah selepas beberapa bulan tidak dapat meneruskan pelajaran akibat kemalangan itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: