02 Oktober 2012

'Saya tidak anti bahasa asing'

16 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

'Saya tidak anti bahasa asing'
 
Nik Aziz (tengah) ditemani Awang (kiri) ketika menyempurnakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan semalam.
 
KOTA BHARU-Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menegaskan bahawa beliau tidak sesekali bersikap anti kepada bahasa asing bahkan baginya amat perlu untuk mempelajarinya.

Nik Abdul Aziz berkata, orang ramai perlu mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab yang merupakan bahasa mulia serta bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Namun baginya, sekiranya menidakkan keperluan Bahasa Melayu sehingga menjadikannya kelas kedua di tanah air sendiri hakikatnya merupakan satu tindakan yang akan menghakis ketuanan bahasa tersebut.

“Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu diperkasakan dengan sehebat mungkin. Malah saya malu dan kesal terhadap sikap segelintir daripada kita yang lebih gemar bertutur dengan bahasa asing di dalam majlis kita dalam  kalangan kita sendiri.

“Ini  kerana persepsi kononnya bercakap dengan bahasa asing lebih moden dan lebih dihormati. Akhirnya, wujudlah sindrom bercakap guna bahasa campuran. Melayu pun tidak, Inggeris pun tidak,” katanya dalam ucapan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan dan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Sehubungan itu, dalam memperkasakan Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, beliau mencadangkan ia dijadikan sebagai bahasa ilmu.

“Sekarang ini ilmu dipelajari di seluruh dunia jarang sekali disusun di dalam Bahasa Melayu. Kita lebih mengenali bahasa asing sebagai bahasa ilmu.

Ini ditambah pula dengan langkah janggal sebahagian daripada kalangan orang Melayu sendiri yang mengambil langkah ke belakang dengan memansuhkan bahasa Melayu di dalam beberapa subjek di sekolah.

“Tanpa disedari, langkah seperti ini sebenarnya lambat laun akan memusnahkan ketuanan Bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Alhamdulillah, langkah ini telah ditarik balik selepas terbukti ia tidak sesuai dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan tulisan jawi selaku tulisan asal kepada bahasa Melayu dan katanya, di Kelantan, selaku pemerintah pihaknya mewajibkan setiap papan tanda yang ingin dipaparkan hendaklah mengandungi tulisan jawi.

“Hari ini, dalam pada kita bercakap soal pemerkasaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, di manakah pula keprihatinan kita di dalam memartabatkan tulisan jawi? Oleh itu, saya amat mengharapkan pihak berwajib dapat melipatgandakan usaha meningkatkan penguasaan tulisan jawi di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Jika tidak, tidak mustahil kita akan menyaksikan tulisan ini pupus dan masyarakat masa depan hanya akan mengenali tulisan rumi selaku tulisan bahasa Melayu,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: