02 Oktober 2012

Wanita: Pakatan tawar belanja 10 kali ganda BN

16 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat berhasrat untuk membelanjakan sehingga RM4.5 bilion setahun untuk kesemua program wanita yang merupakan 10 kali ganda lebih daripada apa yang ditawarkan oleh Umno BN.
Bagi Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isu-isu wanita adalah luas dan pelbagai kerana wanita membentuk separuh daripada penduduk Malaysia, tetapi penglibatan  wanita di sektor pekerjaan dan politik, adalah masih terhad.

Jelasnya, Wanita Pakatan Rakyat yang diketuai bersama oleh Zuraidah daripada PKR, Chong Eng (DAP) dan Siti Zailah (PAS) telah berjaya menerbitkan satu polisi yang dipanggil “Agenda Wanita Malaysia”.

Katanya, dokumen itu mempunyai 7 teras yang komprehensif untuk meningkatkan dan memberdayakan wanita: dasar pendidikan yang lebih baik, kelangsungan kesihatan dan kualiti hidup, penglibatan dan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial, pendemokrasian politik, penguatkuasaan undang-undang daripada diskriminasi dan memupuk agenda Wanita muda.

“Kesemua dasar-dasar yang tersebut diatas ada terkandung di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat kami,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau ingin membuat perbandingan di antara Belanjawan Pakatan Rakyat dengan bajet BN Umno dan akan menjelaskan dua polisi iaitu Caruman Wanita Nasional dan Elaun Penjagaan Anak.

“Caruman Wanita Nasional adalah satu skim jaringan keselamatan sosial bagi Wanita suri rumah. Ideanya adalah seperti berikut; sekiranya suami meninggal dunia, menjadi kurang upaya atau menceraikan isteri, suri rumah akan mempunyai simpanan wang untuk menangani sebarang kemungkinan yang boleh terjadi,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat bercadang untuk memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepada setiap suri rumah, dan akan memastikan dan menggalakkan suami menyumbang sejumlah wang sebanyak RM120 ke RM1,200 setahun kepada caruman yang sama.

Menurutnya, sasaran skim itu adalah untuk memastikan seorang suri rumah mempunyai sekurang-kurangnya simpanan sebanyak RM30, 000 ketika usia 50 tahun.

“Kami menjangkakan terdapat 5 juta suri rumah yang bakal menyertai skim ini dan ianya akan menelan belanja kira-kira RM3 bilion setahun,” katanya.

Tambahnya, walaupun skim itu adalah berdasarkan kepada prinsip kebajikan, sasaran ekonominya adalah untuk menggalakkan simpanan peribadi.

“Skim ini adalah merupakan salah satu program kita untuk meningkatkan pendapatan isi rumah (disposable income),” jelasnya lagi.

Beliau menambah, Skim Elaun Penjagaan Anak diperkenalkan untuk menolong wanita miskin yang bekerja dimana pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM1, 000 sebulan.

“Bagi setiap kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, kita akan menyediakan dana jagaan kanak-kanak sokongan sebanyak RM1, 000 setahun.

“Sokongan ini berhasrat membantu ibu yang bekerja untuk membayar yuran pengasuh menjaga anaknya ketika ibu sedang bekerja,” katanya.

Kini, ujarnya terdapat kira-kira 470,000 isi rumah miskin yang layak untuk skim ini dan pada kadar purata 2 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun bagi setiap isi rumah, skim ini akan menelan belanja kira-kira RM940 juta setahun.

Walaupun mahal, jelas beliau skim itu mempunyai sasaran ekonomi untuk membebaskan lebih ramai Wanita untuk menyertai tenaga kerja.

Kesimpulannya, kata Wan Azizah kedua-dua projek memberdayakan wanita tersebut akan menelan belanja RM3.94 bilion setahun.

“Pada keseluruhannya, Pakatan Rakyat berhasrat untuk membelanjakan sehingga RM4.5 bilion setahun untuk kesemua program wanita, ini merupakan 10 kali ganda lebih daripada apa yang ditawarkan oleh Umno BN,” jelasnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: