KUALA LUMPUR: Satu operasi serbuan bersama
dilakukan ke atas Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya pada
Isnin oleh pihak berkuasa kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah
undang-undang yang ditadbir agensi-agensi penguat kuasa berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Isnin, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata
serbuan itu dilakukannya, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Syarikat
Malaysia.
Jabatan Hal Ehwal Komersil Singapura turut melakukan operasi yang sama terhadap Genneva Pte Ltd di Singapura.
"Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati melabur wang
masing-masing bagi mengelak menjadi mangsa aktiviti haram dan melanggar
undang-undang," kata BNM.
Genneva Malaysia mengendalikan pembelian dan jualan produk emas.
Syarikat itu mempunyai sekutu di Singapura, China, Hong Kong dan
Filipina.
Sementara itu, beberapa anggota polis mengawal ketat di pintu masuk syarikat itu.
Difahamkan serbuan itu dilakukan sejak pukul 1.30 petang dan
kira-kira 50 pembeli dan jururunding syarikat pelaburan emas tersebut
berkumpul di hadapan syarikat itu.
Konsultan syarikat tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Saiful,
50, berkata syarikat itu tidak pernah menimbulkan masalah, malah
syarikat itu mempunyai 50,000 orang pembeli emas.
"Setelah dua tahun lebih saya jadi konsultan, tiada masalah termasuk
penipuan berlaku. Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan
kejayaan syarikat," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, jurucakap BNM berkata syarikat itu disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
"Ada unsur-unsur penipuan daripada maklumat yang diberikan pelabur
dan pemantauan dari BNM, kami ambil dokumen dan jongkong emas untuk
tujuan siasatan," katanya. - BERNAMA
1 ulasan:
Biasa la bila dah maju... yang pimjam tak bayar tak salah pun.
Catat Ulasan