SHAH ALAM:
Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah akan membicarakan buku
A.Shukur Harun berjudul “Gelombang di Pesisir Waktu” dalam suatu majlis
Wacana Ilmu yang akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam,
Khamis 4 Oktober.
“Majlis bicara buku ini adalah siri ‘Wacana Ilmu @ PPAS’ yang
dianjurkan oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pada setiap bulan, dengan
kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS),” jelas Kassim
Muhamad, Setiausaha Agung Paksi.
“Buku Gelombang di Pesisir Waktu dipilih memandangkan kesesuaiannya
dengan suasana politik hari ini, dan Ahmad Lutfi adalah orang yang
paling layak untuk bercakap mengenai suasana politik menjelang PRU-13,”
jelas Kassim lagi.
A.Shukur Harun, 74, adalah seorang penulis dan wartawan
berpengalaman, dan pernah menjadi Pengarang Harakah. Selain
tulisan-tulisan mengenai politik dan PAS, buku ini juga menyorot
peristiwa-peristiwa penting seni-budaya dalam era mutakhir.
“Untuk bahagian seni-budaya kami mengharapkan seorang lagi panel
pembicara, iaitu Arif Atan dari Universiti Malaya, seorang penulis muda,
akan membicarakannya,” kata Kassim.
Majlis yang menggalakkan dialog ilmu di kalangan orang awam ini
terbuka kepada orang ramai secara percuma. Ia bermula pukul 9 pagi dan
berakhir sebelum Zuhur. “Pihak PPAS bermurah hati menyediakan sarapan
dan makan tengah hari untuk mereka yang hadir,” kata Kassim, yang
bertindak sebagai moderator wacana ini.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan