13 Mei 2013

Kenyataan Mohd Noor hasil didikan Umno BN

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR:
 Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berpandangan kenyataan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang berbaur hasutan dipengaruhi pemikiran Umno BN.


Beliau berkata, amat tidak wajar seorang cerdik pandai seperti Mohd Noor mengeluarkan kenyataan yang menggalakkan permusuhan kaum khususnya antara Melayu dan Cina.

"Pandangan beliau itu silap dan dipengaruhi oleh Umno BN. Macam mana orang yang bijak pandai fikirannya boleh dipengaruhi seperti ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat itu juga mempersoal gesaan Mohd Noor agar sekolah jenis kebangsaan (SJK) dihapuskan.

Tegasnya, dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan terdiri daripada masyarakat majmuk, setiap kaum berhak mempunyai sekolah aliran mereka.

"Kenapa kita nak tutup semua sekolah jenis kebangsaan sedangkan itu hak mereka?

"Hak mereka untuk belajar bahasa ibunda dan sepatutnya kita menggalakkan anak-anak Melayu turut belajar bahasa Cina dan Tamil supaya tahu pelbagai jenis bahasa. Tutup SJK tidak menyelesaikan apa-apa," katanya.

Tambah beliau, hasil didikan Umno BN selama 55 tahun melahirkan individu seperti Mohd Noor yang penuh dengan prasangka terhadap kaum lain.

"Inilah hasil didikan Umno BN sehingga melahirkan orang-orang seperti ini.

"Mereka penuh dengan rasa syak wasangka, perkauman yang kuat dan takut pada perkara yang tidak wujud," tegasnya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju tindakan Mohd Noor dikaitkan dengan Akta Hasutan kerana berpandangan akta itu harus dimansuhkan.

"Saya tak setujulah kalau nak kaitkan dengan Akta Hasutan sebab Pakatan Rakyat mahu akta ini dimansuhkan jadi kenapa kita nak kenakan ke atas pihak lain mahupun Umno BN.

"Setiap orang berhak beri pandangan dan Mohd Noor kena bersedialah kalau orang ramai serang beliau kerana keluarkan kenyataan yang menimbulkan kebencian kaum," katanya.

Mohd Noor dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman termasuk mendakwa masyarakat Cina mengkhianati setiakawan dengan orang Melayu dalam satu seminar Pasca PRU13 di Kuala Lumpur semalam.
sinar/-

Tiada ulasan: