13 Mei 2013

Biar Umno perintah, MCA dan Gerakan beralih arah

3 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Biarkan sahaja Umno memerintah dengan sombong sendirian pasca PRU13 kerana kelak rakyat akan menghukum pula mereka dengan tsunami baru yang jauh lebih ganas melibatkan semua kaum.

Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai respons kepada pengumuman Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu dan Setiausaha Agungnya, Teng Chang Yeow meletakkan jawatan minggu depan ekoran prestasi terburuk mereka dalam PRU13.

Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didesak kuat oleh akar umbi MCA untuk meletak jawatan juga akan berundur seawal Jun tahun ini.

“Ini bererti kedua-dua presiden parti tersebut akur dengan tekanan dan desakan ahli parti masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, Presiden Gerakan dan MCA cepat menghidu arus politik negara dengan mengundurkan diri kerana bagi mereka, lebih baik berundur diri secara terhormat daripada diundurkan oleh ahli dan rakyat secara paksa.

Sepatutnya, ujar beliau Presiden UMNO belajar dari politik matang seperti ini daripada kedua-dua pemimpin parti komponennya.

Tambahnya, mengambil tanggungjawab, memuhasabah diri serta berundur adalah langkah bijak daripada sibuk menyalahkan komuniti lain atas kegagalan sendiri.
Bagi Riduan, MCA dan Gerakan melihat kepada realiti bahawa trend rakyat sekarang memilih parti yang berasaskan kepada keadilan sosial lebih daripada parti yang berteraskan kepada kaum tertentu semata-mata.

Bagi rakyat Malaysia, tambah beliau sebenarnya perjuangan berteraskan bangsa sudah ketinggalan dan dilupakan, malahan rakyat membenci perjuangan sempit perkauman yang akhirnya akan menjarakkan jurang antara kaum di negara ini.

Bagi rakyat, katanya perjuangan tersebut adalah sia-sia kerana negara ini berkongsi hidup antara setiap kaum kerana setiap kaum saling perlu memerlukan dan pembelaan sewajarnya daripada pemerintah.

Justeru, ujar Riduan lagi Gerakan dan MCA harus belajar dari kesilapan dengan menukar dasar perjuangan mereka.

“Sudah tentu yang paling mudah adalah dengan beralih arah kepada Pakatan Rakyat melalui DAP yang sekarang mendapat sambutan baik daripada rakyat,” ujarnya lagi.

Kata beliau, kekuatan mereka akan lebih terserlah dengan gabungan ketiga-tiga parti bagi membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.

“Dengan peralihan kepada PR akan memudahkan perjuangan mereka diterima oleh masyarakat, asal sahaja agenda perjuangan mereka tidak hanya berteraskan sesuatu bangsa sahaja,” katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: