13 Mei 2013

PR akan bentuk kerajaan pusat jika menang petisyen, kata Kit Siang

3 Rejab 1434 H. [MOD] -


Lim Kit Siang pada ceramah di Skudai semasa PRU13. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) menjangka kemenangan daripada 20 hingga 30 petisyen yang akan mereka kemukakan selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 diwartakan bagi memberi laluan pembentukan kerajaan pusat baru, kata Lim Kit Siang.

Penasihat DAP tersebut berkata  Gobind Singh Deo telah dilantik untuk mengendalikan satu jawatankuasa khas petisyen tersebut, tetapi tidak mendedahkan bantahan tersebut akan dibuat terhadap kerusi-kerusi secara spesifik.
“Kita tunggu keputusan PRU13 diwartakan, selepas itu dalam tempoh 21 hari, kita boleh buat petisyen. Kita jangka boleh kemuka petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN,” kata Lim yang dipetik berkata dalam akhbar Sinar Harian hari ini.
Menurut Lim, PR hanya memerlukan kemenangan 22 kerusi daripada keseluruhan petisyen yang akan mereka kemukakan untuk membentuk kerajaan pusat yang baru dengan majoriti.
“BN sekarang ada 133 kerusi Parlimen. Sekiranya daripada petisyen yang kita akan buat, kita berjaya dapat 22 kerusi, yang akan tinggal pada BN hanya 111 kerusi. Ini bermakna kita akan dapat majoriti dan jadi kerajaan,” katanya lagi.
Keyakinan yang Lim suarakan juga berasaskan undi popular yang diperoleh oleh PR pada pilihan raya 5 Mei lalu, dimana gabungan pembangkang memperoleh peratusan lebih tinggi daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
PR mendapat 51 peratus undi popular berbanding BN yang hanya mendapat 47 peratus.
“BN dapat sokongan minoriti daripada undi popular,” katanya.
Penubuhan jawatankuasa khas diumumkan DAP juga hampir sama seperti pengumuman oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas yang melantik Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi mengetuai pasukan menyiasat penipuan PRU13.
Dalam perkara berasingan, Lim berkata tidak perlu menghiraukan cabaran Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan supaya 89 calon PR yang memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu tidak angkat sumpah kerana menolak keputusan PRU13.
BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.
Daripada 89 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat, DAP memperolehi kerusi terbesar dengan 38 kerusi.
BN turut hilang undi popular kepada PR — pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Perikatan.
The Malaysian Insider/-

Tiada ulasan: