13 Mei 2013

Selangor baik pulih rumah di Dun BN dan PR


3 Rejab 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad berkata, mengkhianati tanggungjawab pemerintah kepada rakyat bukan budaya Pakatan Rakyat, meskipun berbeza warna kulit, agama mahupun haluan politik.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama, lapor Selangorku.

Bahkan, ujar beliau lebih 100,000 hak milik tanah di Selangor diberikan oleh Kerajaan Pakatan Selangor kepada mereka yang berhak, termasuk penyokong tegar Umno BN.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor itu berkata demikian mengulas keluhan rakyat Terengganu yang kini menjadi mangsa balas dendam politik Umno BN negeri itu.

Bernama melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata tiada rumah mampu milik akan dibina di kawasan yang dimenangi Pakatan di negeri itu.

“Ini satu pengkhianatan, sebab satu kerajaan sepatutnya mereka berkhidmat kepada setiap rakyat kepada negeri tersebut tak boleh pilih siapa yang pilih mereka sahaja yang akan diberikan bantuan,” kata Iskandar ketika dihubungi TVSelangor.

Pada Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ni, BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu apabila memenangi 17 kerusi Dun manakala Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi.

Iskandar menjelaskan pemerintah seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan samarata kepada rakyat, kerana keseluruhan operasi kerajaan, bahkan gaji Menteri Besar itu sendiri, sebenarnya ditanggung oleh pembayar cukai.

“Di Selangor, sebagai contoh kita ada projek ceria, projek membaik pulih rumah pangsa dan pangsapuri, kita baik pulih di semua Dun tidak kira itu Dun BN ataupun Dun PR.

“Kita bagi bantuan ini kepada semua sebab ini tanggungjawab kerajaan, kerajaan kena beri khidmat kepada semua rakyat sebab rakyat membayar cukai,” kata Iskandar yang juga Yang Dipertua PAS 
Kawasan Pandan.

harakah/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sah Mat Said x bc tantang ciri2 pemimpin yg adil dlm Kitab..
Pemimpin adil memberikan keadilan kpd pengikut dan penentangnya..