13 Mei 2013

Iskandar Samad : Umno-BN Khianati Tanggungjawab Kepada Rakyat

3 Rejab 1434 H. [MOD] -


ceria iskandar selayang 01
SHAH ALAM 13 MEI : Mengkhianati tanggungjawab pemerintah kepada rakyat bukan budaya Pakatan Rakyat, meskipun berbeza warna kulit, agama mahupun haluan politik.
Bekas Exco Perumahan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira latarbelakang agama.
Bahkan, lebih 100,000 hak milik tanah di Selangor diberikan oleh Kerajaan Pakatan Selangor kepada mereka yang berhak, termasuk penyokong tegar Umno-BN.
Iskandar berkata demikian mengulas keluhan rakyat Terengganu yang kini menjadi mangsa balas dendam Umno-BN Terengganu.
Bernama melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata tiada rumah mampu milik akan di bina di kawasan yang dimenangi Pakatan di pantai timur itu.
“Ini satu pengkhianatan, sebab satu kerajaan sepatutnya mereka berkhidmat kepada setiap rakyat kepada negeri tersebut tak boleh pilih siapa yang pilih mereka sahaja yang akan diberikan bantuan,” kata Iskandar ketika dihubungi TVSelangor.
Pilihanraya Umum ke 13 baru-baru ni, BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu apabila memenangi 17 kerusi DUN manakala Pakatan memenangi 15 kerusi DUN.
Daripada lapan kawasan Parlimen, BN menang di Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala Pakatan menang di Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu.
Beliau menjelaskan pemerintah seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan samarata kepada rakyat, kerana keseluruhan operasi kerajaan, bahkan gaji Menteri Besar itu sendiri, sebenarnya ditanggung oleh pembayar cukai.
“Di Selangor, sebagai contoh kita ada projek ceria, projek membaik pulih rumah pangsa dan pangsapuri, kita baik pulih di semua DUN tidak kira itu DUN BN ataupun DUN PR.
“Kita bagi bantuan ini kepada semua sebab ini tanggungjawab kerajaan, kerajaan kena beri khidmat kepada semua rakyat sebab rakyat membayar cukai,” kata Iskandar.
selangorku/-

Tiada ulasan: