08 Mei 2013

Mahkamah batal beri tanah kepada 5 JKKK

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Mahkamah memberikan hak kepada para pelalajr sekolah rendah Islam Darul Bayan ini)


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman Sekolah Rendah Islam Darul Bayan ke atas Kerajaan Trengganu dan Pejabat Tanah Dungun bagi membatalkan keputusan Kerajaan Trengganu yang memberikan tanah yang diduduki oleh sekolah itu.

Ini ekoran tindakan kerajaan negeri memberikan tapak sekolah yang diberikan kepada mereka sebelum ini kepada lima individu yang berkait rapat dengan Umno iaitu ahli-ahli dan kroni JKKK Kg Cacar dan Kg Limbung.

Keputusan itu dibuat Hakim  Datuk Haji Mohd Yazid bin Haji Mustafa dalam keputusannya dalam perbicaraan hari ini.

5 individu tersebut adalah Ibrahim bin Abdullah (ahli JKKK Kg Limbung), Abd Ghani bin Muda (suami Setiausaha JKKK Kg Limbung),  Muhamad bin Idris (ahli JKKK Kg Limbung), Rosli bin Hashim (Ahli JKKK Cacar) dan Suhaini binti Abd Karim (isteri Naib Pengerusi JKKK Kg Limbung).

Pada tahun 2003 Kerajaan Terengganu melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian hartanah yang dikenali sebagai PT 15024, Kolam Mak Tegar, Mukim Paka, Dungun kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan.

Hasil kelulusan tersebut pihak sekolah telah mendirikan bangunan sekolah dan asrama bagi anak anak yatim. 

Bagaimanapun pada sekitar tahun 2012 melalui semakan di pejabat tanah di Dungun didapati pada tahun 2011, hartanah tersebut telah diberikan kepada 5 orang individu yang mempunyai hubungan dengan Umno.

Carian juga menunjukkan saiz hartanah yang diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan juga dikecilkan saiznya iaitu dari saiz asalnya seluas 14,827 kaki persegi kepada hanya 9,172 kaki persegi sahaja.

Akibat tidak berpuashati dengan keputusan Kerajaan BN Terengganu itu, pihak sekolah telah melantik peguam iaitu Tetuan Mazwan & Nasar untuk mencabar pemberian hakmilik hartanah kepada 5 individu Umno itu agar di batalkan oleh Mahkamah.

Setelah mendengar hujah-hujah lisan dan bertulis peguam pihak sekolah tersebut iaitu Encik Mohamed Hanipa Maidin dan Encik Nasar Khan dan hujah Peguam Kanan Persekutuan dariPejabat Penasihat Undang Undang Negeri Trengganu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustapa hari ini memutuskan memihak kepada Sekolah Islam Darul Bayan.

(Hanipa...peguam yang kini anggota Parlimen Sepang)

Hakim Mohd Yazid mengisytiharkan keputusan Kerajaan Terengganu memberi hakmilik hartanah tersebut kepada 5 individu yang dikaitkan dengan Umno itu adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim juga memerintahkan perintah certiorari dikeluarkan bagi memadamkan kesemua nama 5 individu tersebut dari rekod pendaftaran di Pejabat Tanah.

Dalam keputusan bertulisnya yang dibaca hari ini, hakim juga menyatakan beliau bersetuju dengan hujah peguam pihak sekolah tersebut iaitu pemberian hakmilik hartanah tersebut kepada 5 individu tersebut tanpa kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan PAS dibatalkan terlebih dahulu adalah keputusan yang tidak adil, tidak munasabah dan tidak rasional.

Keputusan itu juga, menurut Mahkamah, meranapkan jangkaan sah (legitimate expectation) Sekolah Islam Darul Bayan untuk diberikan hak untuk didengar atas alasan apakah hartanah itu diberikan kepada 5 individu tersebut.

Dalam piliharaya umum ke 13 baru-baru ini kerusi Dun Paka dan Parlimen Dungun telah dirampas oleh Pakatan Rakyat dari BN.


sinar/-

Tiada ulasan: