08 Mei 2013

Hidup mati politik saya di Johor - Salahuddin

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Biarpun gagal menawan kerusi Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya, Salahuddin Ayub tidak sesekali meninggalkan negeri tersebut.

Malah, Johor merupakan destinasi beliau untuk meneruskan karier politiknya, meskipun tidak bergelar wakil rakyat.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Naib Presiden PAS itu berkata beliau tidak akan ke mana-mana, biarpun jika ditawarkan untuk bertanding di negeri lain pada pilihan raya umum ke 14.

"Saya tidak akan ke mana-mana. Johor adalah destinasi politik saya. Hidup mati saya di Johor seperti janji saya pada kempen sebelum ini," tegas beliau.

Selain menumpukan kerja-kerja khidmat di Johor, beliau juga akan menumpukan kerja-kerja parti sebagai naib presiden.

Ketika ditanya perasaannya apabila tewas di kedua-dua kerusi itu, Salahuddin berkata beliau tidak kecewa dengan keputusan itu, sebaliknya berasakan telah berjaya melakukan satu perubahan lanskap politik Johor.

"Saya tidak kecewa. Di kedua-dua kerusi itu saya kalah dengan undi awal. Bagaimanapun, saya telah berjaya melakukan perubahan lanskap politik Johor," tegas beliau lagi.

Pada pilihan raya umum lalu, Salahuddin gagal menawan kerusi parlimen Pulai daripada BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Prof Dr. Zaini Abu Bkar di Dun Nusajaya.

Salahuddin memperolehi 40,525 undi, manakala Jazlan mendapat 43,751 undi dengan majoriti sebanyak 3,226.

Manakala, di Nusajaya, beliau memperoleh 20,965 undi, manakala Dr Zaini memperoleh 23,166 dengan majoriti 2,201 undi.


Pada PRU 2004 dan 2008, beliau memenangi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

harakahdaily/-

2 ulasan:

Awanama berkata...

Jangan kecewa. Sy anak jati johor tetap bersama memperjuangkan PAS.
Teruskan Perjuangan....!!! Melayu umno buta hati dan fikiran.

Awanama berkata...

Memang sedih, harga petrol nampaknya tidak turun. Ini menyebabkan penyeludup minyak bersubsidi merasa terkilan setelah berusaha memenangkan Salahuddin.... JIka Salahuddin menang, nasib penyeludup minyak petrol bersubsidi sudah tentu terbela dengan keuntungan yang banyak.... Inilah caranya Salahuddin membahagi-bahagikan kekayaan tanpa melibatkan kroni dan keluarga... Diharap masa akan datang saudara tetapkan pendirian agar membantu kami meraih keuntungan yang lebih banyak dengan MENURUNKAN HARGA PETROL....