08 Mei 2013

Gunung berapi meletus: 3 maut


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Manila: Tiga pelancong Jerman dan pemandu pelancong warga tempatan maut apabila satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina memuntahkan kepulan abu dan ketulan batu semalam, kata pihak berkuasa.

Seramai 20 rakyat asing dan pemandu pelancong mereka berada di lereng Gunung Mayon ketika ia meletus dan petugas penyelamat dikejarkan dengan helikopter bagi mencari mangsa.

“Ia bagaikan hujan batu yang teruk,” kata pengendali pelancongan tempatan, Marti Calleja memetik kenyataan wanita Austria yang terselamat dalam bencana itu. “Batu-batan yang jatuh ke bawah mengenai mereka hingga sebesar meja makan,” katanya kepada media melalui telefon. Calleja berkata, tiga pemandu pelancong tempatan daripada syarikatnya dan lima pelancong asing baru memulakan pendakian sebelum letusan berlaku yang menyebabkan asap tebal sehingga 500 meter di udara.

Tiga warga Jerman dan seorang pemandu pelancong daripada kumpulannya terbunuh, manakala wanita Austria berkenaan mengalami cedera ringan.
Jurucakap polis daerah Superintendan Renato Bataller mengesahkan empat kematian dengan tujuh lagi cedera termasuk empat rakyat Thai.
Calleja berkata, pelancong asing membayar kira-kira AS$100 (RM298) setiap seorang untuk pengembaraan semalaman di Gunung Mayon setinggi 2,460 meter itu.
Gunung itu terkenal dengan bentuknya yang hampir menyerupai kon, tetapi mempunyai sejarah letusan yang panjang.
Radius “zon berbahaya kekal” sejauh enam kilometer sepatutnya dikuatkuasa di sekitar gunung itu. Tetapi Cajella berkata, kerajaan tempatan membenarkan orang ramai mendaki apabila tiada tanda akan berlaku letusan.
“Antara 300 hingga 1,000 pendaki datang ke sini ketika musim puncak dari Mei hingga Ogos,” katanya.- AFP

Tiada ulasan: