22 November 2021

Judi dan arak: Antara hak dan dakyah, siapa dianiaya?

 

ISU judi dan arak tak sepatutnya timbul kerana jelas sekali keburukannya di sisi semua agama. Pengharaman arak jelas di dalam al-Quran. Arak adalah ibu maksiat sehinggakan orang yang meminum arak, solatnya tidak diterima selama 40 hari.

Musibah bahana mabuk arak sudah menyaksikan kepada kita kes-kes kemalangan yang mengerikan kerana memandu secara songsang. Isu tersebut sudah dipolemik sekian lama di dalam masyarakat kita hatta telah dibincang di Parlimen.

Begitulah kegiatan judi yang semakin membarah di dalam masyarakat. Premis judi begitu banyak dan berada di mana-mana sama ada berlesen atau yang beroperasi secara haram. Perjudian dilakukan bermacam cara. Terdapat kedai tikam ekor dengan pelbagai jenama. Kewujudannya di mana-mana seolah-olahnya satu keperluan seumpama kedai top-up handphone.

Dahulunya PAS Pulau Pinang membawa isu judi cyber yang beroperasi di cyber cafe. Mangsanya ialah remaja umat Islam.

Kedai-kedai judi dan arak di merata lokasi itu bukankah satu dakyah kepada umat Islam? Bukankah premis tersebut sudah keterlaluan dan sangat melebihi hak bukan-Islam? Persoalannya adakah judi itu satu budaya bukan-Islam? Budaya yang dikeji oleh pelbagai agama itu. Di mana letaknya moral kepada pihak yang mempertahankan kegiatan yang terkutuk itu?

Bermacam-macam dakyah jahat yang dilakukan di depan muka umat Islam seumpama penganjuran pesta arak iaitu Oktoberfest dan sebagainya.

Elok sangat Kerajaan Kedah tidak mengeluarkan lesen premis judi dan menghadkan lesen premis arak. Kerajaan Kelantan sudah pun menguatkuasakanya, tiada masalah pun kepada masyarakat bukan-Islam di sana. Mungkin si Tambi itu hidup di bawah tempurung dan dia ada syer saham kut? Tak tahulah! Jelas sekali dalam hal ini, umat Islamlah sebenarnya teraniaya. Bukankah begitu? Ayuh bangun! Tolak perosak.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100001777352221/posts/4557291321006735/

Tiada ulasan: