22 November 2021

MP Dungun dedah pesara terima pencen RM200

 

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menambah kadar pencen pesara agensi kerajaan yang diswastakan pada tahun 1980-an dan 1990-an supaya sesuai dengan taraf kehidupan sekarang.


Katanya, ada pesara terbabit menerima kadar pencen yang amat rendah, iaitu di bawah RM200 sebulan dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana pesara terbabit sepatutnya berehat pada usia tua.

“Saya ingin menyebut pesara jabatan yang kini menjadi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Telekom Malaysia Bhd, Pos Malaysia Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Malaysia Airport Berhad (MAB) dan lain-lain yang menerima kadar pencen rendah berikutan dasar  penswastaan kerajaan pada tahun 1980-an dan 1990-an.

“Kos hidup yang amat tinggi sekarang. Oleh itu, meningkatkan kadar pencen dapat mengurangkan beban kehidupan mereka,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Wan Hassan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan untuk biasiswa dan pinjaman pelajaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam Bajet 2022.

Sehubungan itu, beliau ingin tahu anggaran bilangan pelajar yang dijangka mendapat biasiswa dan pinjaman berkenaan.

“Selepas dua tahun biasiswa dan pinjaman tidak disediakan, adakah kerajaan mengambil kira untuk memberi peluang ini kepada pelajar yang telah menyambung pelajaran dan bukan hanya mereka yang bakal mengikuti pengajian pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berharap peruntukan biasiswa dan pinjaman pendidikan dapat ditambah untuk memberi manfaat kepada lebih ramai anak muda.- HARAKAHDAILY 22/11/21

Tiada ulasan: