22 November 2021

RM1 bilion basmi miskin tegar

 Kerajaan menyediakan dana besar untuk membantu keluarga miskin tegar. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kerajaan menyediakan dana besar untuk membantu keluarga miskin tegar. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan dana RM1 bilion menerusi Bajet 2022 bagi membantu keluarga miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata agihan peruntukan itu sudah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Oleh kerana kita tidak ada peruntukan khusus bagi menangani miskin tegar, keputusan sudah dibuat dan agihannya tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri.

"Jadi, agihannya ialah sebanyak RM500 juta untuk membiayai projek program membasmi miskin tegar di seluruh negara. Setiap negeri akan dikenal pasti berdasarkan lokaliti supaya usaha dijalankan lebih bersasar.

"Kita akan mengambil pendekatan holistik dan menyeluruh membabitkan agensi kerajaan Pusat, negeri, universiti, korporat, yayasan dan badan-badan lain, bagi melaksanakan usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapa berkata, berbanding negeri lain, Sabah dan Sarawak akan mendapatkan jumlah peruntukan lebih, berdasarkan saiz negeri berkenaan yang besar bagi melaksanakan insiatif membasmi miskin tegar.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM350 juta diperuntuk bagi melaksanakan projek yang tidak tersenarai tahun depan, iaitu projek kritikal dan berimpak tinggi.

"Kita juga akan melaksanakan projek kecil berimpak tinggi, khususnya di kawasan FELDA. Semua ini agihan untuk tahun depan," katanya.

Agihan peruntukan membantu keluarga miskin tegar bermula tahun depan. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM
Agihan peruntukan membantu keluarga miskin tegar bermula tahun depan. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM

BHARIAN.

Tiada ulasan: