22 November 2021

Marbawi mendahului zaman

 MARBAWI menggunakan pendekatan tafsir analitikal menjadikan karya minda beliau mampu menarik perhatian  pengkaji.

MARBAWI menggunakan pendekatan tafsir analitikal menjadikan karya minda beliau mampu menarik perhatian pengkaji.

Dr Lokman Ab Rahman

Nama Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi sangat dekat di hati bagi sesiapa sahaja anak Melayu yang baharu berjinak  mempelajari Bahasa Arab.  Kamus Marbawi antara sumbangan penting yang menghubungkan dua bahasa dan budaya, Arab-Melayu yang mempunyai cara hidup yang sangat berbeza. Marbawi hanyalah seorang anak kampung kelahiran negeri Perak.

Kehidupannya banyak dihabiskan di Mesir, tetapi sumbangan kepada penyebaran ilmu dan pendidikan banyak tertumpu kepada masyarakat Melayu di Nusantara. Kebanyakan anak Melayu ketika zamannya memilih untuk menyambung pengajian ke England seperti Universiti Cambridge dan Universiti of London.  

Tetapi Marbawi bertekad menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar iaitu unversiti kedua tertua di dunia.  Kelahirannya sezaman dengan Pendeta Zaaba pada 1890-an, seorang tokoh radikal yang memperjuangkan Bahasa Melayu, peradaban Melayu dan agama. Segala usaha memartabatkan bangsa pada ketika itu dihalang oleh penjajah British. Perjuangan Marbawi meningkatkan pendidikan agama bangsanya secara jarak jauh tidak terhalang sungguhpun  masa hidupnya  banyak dihabiskan di bumi Mesir. 

Hampir keseluruhan karyanya dihasilkan dalam tulisan berbahasa Melayu-Jawi sama ada karya asli atau pun terjemahan daripada kitab Arab. Usaha gigihnya membangun ilmu, bahasa dan peradaban Melayu menggambarkan kejayaan sesuatu bangsa tidak perlu menukar identiti bahasa dan budaya seperti Jepun, Korea dan China yang berjaya membina teknologi dan budaya mereka sendiri. Perkataan Al-Marbawi ialah identiti peribadi beliau yang merujuk kepada kampung asalnya di Lubuk Merbau, Perak.  

Selain memartabatkan Bahasa Melayu-Jawi, jati diri Marbawi dapat ditemui  dalam tulisannya yang banyak  merujuk pendapat Mazhab Syafie antaranya Imam Nawawi dan Imam Ramli. Sedangkan kehidupan dan pengajian beliau banyak dihabiskan di Mesir yang bermazhab Hanafi.  Lazimnya, ramai pelajar Melayu lepasan Arab Saudi membawa fikrah wahabi-salafi, dari Iran pula membawa fikrah dan fahaman Syiah,  manakala dari United Kingdom dan Amerika Syarikat membawa fikrah libralisme dan sekularisme.

Kecenderungan Marbawi kepada Mazhab Syafie menepati mazhab yang dipegang oleh majoriti masyarakat Islam di Malaysia menjadikan urusan hal ehwal Islam teratur dan tampak seragam.  Di sini kelihatan kematangan beliau dalam menyampai ilmu supaya serasi dengan amalan mazhab dan penerimaan masyarakat tempatan. 

Cakupan pengajian dan ilmu  dalam pelbagai disiplin ilmu menjadikan beliau seorang tokoh yang istimewa.  Sekiranya diteliti melalui karya-karya yang dihasilkan oleh beliau, kerja minda dan hasil tintanya jelas mendahului zaman seperti Ibn Sina menghasil Qanun Fi al-Tib.

Ibn Sina dikenali sebagai tokoh perubatan dunia Islam melalui karyanya yang menjadi rujukan ahli-ahli perubatan di Timur dan Barat selama lebih 500 tahun malahan berterusan menjadi tatapan ilmiah pengkaji sehingga ke hari ini.  Karya Ibn Sina yang terkenal ini adalah hasil cerapan dan tambah nilai daripada perubatan Yunani, Parsi dan India. Sebaliknya, karya Marbawi kebanyakannya adalah  hasil tinta tangannya sendiri  di samping terjemahan daripada kitab turath Arab kepada Bahasa Melayu-Jawi.  

Karya-karya Marbawi yang sampai ke  tangan kita  seperti Kamus Idris Al-Marbawi, Kitab Bahru al-Madzi, Tafsir Surah Yasin dan Tafsir Surah al-Baqarah. Beliau menggunakan pendekatan tafsir analitikal menjadikan karya minda beliau mampu menarik perhatian pengkaji untuk mendalami pemikiran beliau.

Tafsiran beliau dilihat setanding dengan mufassir yang lain berdasarkan Tafsir Bi al-Ma'thur  (berdasarkan nas muktabar)  dan Bi Ra'yi (ijtihad). Namun demikian, beliau dominan menggunakan kaedah pentafsiran bi al-ma'thur.  Tafsiran Marbawi bersifat semasa dan mampu menyentuh kehidupan masyarakat tempatan melalui ulasan beliau mengenai ayat hukum, undang-undang malah turut menyentuh aspek sains.  Penyampaian beliau begitu tepat.

Beliau menerangkan sesuatu menggunakan ilustrasi gambar dan grafik yang bersesuaian  khususnya dalam Kamus Al-Marbawi. Pendekatan ini turut digunakan dalam tafsiran Surah Yasin. Hari ini, kaedah tersebut dikenali sebagai  visual learning dalam dunia akademik.

Kehebatan anak Melayu kelahiran Perak ini sangat terserlah apabila karya beliau mampu membuktikan bahawa bidang ilmunya tidak terbatas kepada satu subjek sahaja. Hal ini berbeza dengan kebiasaan latar belakang pensyarah di Universiti Al-Azhar, Mesir yang cenderung bercirikan Subject Matter Expert (SME). Koleksi Ensiklopedia Kitab Bahru al-Madzi membuktikan  kemampuan beliau dalam bidang hadis. Penulisan Kitab Bahru al-Madzi menafikan dakwaan setengah pihak bahawa hadis berada dalam kedudukan syak seperti yang ditularkan mutakhir ini. Dakwaan tersebut umpama  tindakan orientalis yang sering berusaha meragukan sumber rujukan kedua selepas al-Quran. Penulisan mengenai hadis oleh Marbawi begitu konkrit dengan rantaian dan sandaran sanad bagi membuktikan ilmu pengajian Islam bukanlah rekaan, tafsiran bebas dan idea-idea tokoh-tokoh ulama semata-mata. 

Sumber penulisan beliau merujuk kepada autoriti hadis sebagai pentafsir utama terhadap wahyu, di mana Rasulullah SAW tidak bertutur mengikut nafsunya kecuali menyampaikan wahyu Allah SWT (al-Najmu: 3-4).  Bahru al-Madzi  adalah kitab hadis yang menjadi syarah kepada Mukhtasar Sahih al-Tarmizi.  Selain itu, Kitab Idangan Guru Sahih al-Bukhari dan Muslim, Kitab Bulugh al-Maram serta 'Terjemahan Melayu' karangan beliau  juga mengenai hadis. Penekanan pengajian hadis yang sistematik adalah dianggap future thinker Marbawi terhadap anti hadis seperti Kassim Ahmad di Malaysia, Taufiq Sidiq dan Ali Hassan di Mesir, Rasyad Khalifah di Amerika dan Dailami Lubis di Indonesia. Anti hadis orientalis seperti Joseph F Schact dan Ignac Goldziher tidak mengejutkan kita memang mereka bukan Islam.  Konsep rantaian dan pengesanan rawi  hadis itu sendiri mengatasi maklumat sampah yang berlonggok di alam siber.  

Hasil tulisan dan kegigihannya terpancar dalam karya-karya masih segar hingga hari ini, melayakkan beliau mendapat Ijazah Doktor Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1980. Jika dilihat sumbangan beliau yang begitu bernilai dalam dunia pendidikan dan peradaban bangsa, ia mungkin tidak setanding dengan anugerah itu. Malah sesetengah kajian di universiti hanya sekadar timbunan kertas konsep. Tanpa aplikasi, cadangan dan jauh sekali solusi konkrit terhadap sesuatu permasaalahan kajian yang gagal dimanfaatkan.  Karya Marbawi dimanfaatkan sepenuhnya sehingga hari ini, bermula dari sekolah pondok sehingga ke menara gading. Bayangkan sekiranya beliau masih hidup pada zaman teknologi  dan komunikasi maya hari ini?      

Lantaran sumbangan yang besar terhadap dunia Nusantara, Marbawi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah yang pertama pada 1987.  Atas pencapaian dan nilai ilmu yang begitu tinggi kepada pembangunan pendidikan dan peradaban ilmu, maka Jakim telah memilih untuk mengabadikan nama Marbawi  bagi perpustakaan mini kitab turath Jakim yang dikenali sebagai Perpustakaan Syeikh Mohammad Idris al-Marbawi (PSMIAM) yang terletak di anjung Masjid Negara, Kuala Lumpur.   Perpustakaan mini ini memuatkan karya-karya beliau di samping kitab-kitab turath utama yang masyhur dalam versi Bahasa Arab dan Melayu. Usaha mengesan dan mengumpul  karya beliau yang kebanyakannya dicetak di Mesir seperti Syarikat Mustafa al-Babi al-Halabi, perlu dilakukan. Adalah menjadi tanggungjawab kita mengembalikan dan menjaga khazanah warisan ilmu dan karya bangsa supaya berada di pangkuan kita untuk tatapan serta  kesinambungan kajian pada masa hadapan, demi kelangsungan ilmu dan peradaban ummah Nusantara khususnya di Malaysia. Wallahu'alam.

Penulis Pengarah  Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

HMETRO.

Tiada ulasan: