22 November 2021

Mencabar undang-undang tuhan, logikkah?

 

DI SANA wujudnya segelintir manusia yang mempertikaikan Undang-undang Allah S.W.T. Mereka memperlecehkannya dengan mengatakan undang-undang atau sistem Tuhan itu sudah ketinggalan zaman. Ada yang mentertawakan seolah-olah sistem yang diatur olehNya itu tidak realistik.

Ada juga yang menganggap isi-isi al-Quran dan Hadis itu sekadar fantasi. Mereka menganggap seolah-olah Islam itu tidak mungkin berdiri sebagai sebuah sistem yang mengatur hidup manusia. Justeru, suka untuk saya datangkan bukti secara logik, bahawa undang-undang dan sistem Tuhan itu adalah terbaik. 

Alam ini diciptakan oleh tuhan

Perkara pertama yang perlu kita sedar ialah mengenai alam semesta yang dicipta oleh Allah S.W.T. Di sana, Allah S.W.T telah pun membuktikan secara rasional bahawa Dia-lah yang mencipta alam ini. Sekalipun puak-puak penentang ada yang cuba membawa fahaman bahawa alam ini tercipta dengan semula jadi

Cara berfikir ini dipromosikan oleh golongan Atheisme. Terlalu banyak hujah untuk menyangkal dakwaan kosong mereka. Antaranya ialah sekiranya alam ini dan manusia itu tercipta dengan semula jadi, tanpa kuasa Tuhan, siapakah yang ‘mengajar’ sperma untuk mencari ovum sehingga terbentuknya manusia?

Allah S.W.T menceritakan mengenai penciptaan manusia secara jelas di dalam al-Quran, antaranya di dalam Surah al Haj, ayat 5:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) mengenai kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

(al-Hajj: 5)

Ayat ini menceritakan mengenai penciptaan manusia. Allah S.W.T menceritakan proses ini sebagai bukti bahawa Dia-lah yang menciptakan manusia. Sekiranya ada yang masih tidak percaya mengenai apa yang diceritakan ini, kajilah sendiri. Allah S.W.T sudah berikan otak kepada mereka untuk berfikir dan mengkaji.

Jika mereka mengkaji dengan teliti, mereka akan dapati bahawa apa yang diceritakan oleh Allah S.W.T ini, sama sepertimana hasil kajian mereka itu. Ini sebagai bukti bahawa Allahlah yang menciptakan manusia. Mana mungkin Allah S.W.T menceritakan semua ini kalau bukan Dia yang menciptakannya?

Logikkah bagi seseorang manusia yang sedang berucap menggunakan mikrofon, mengatakan bahawa ‘Sepanjang kajian saya, tiada lagi manusia yang mampu mencipta mikrofon’. Tidak logik bukan? Sedangkan mikrofon itu sedang digunakannya, mana mungkin dakwaan itu logik.

Kecacatan atau keguguran itu sebagai bukti

Atheisme ada menyatakan bahawa yang menciptakan manusia itu bukanlah Tuhan, sebaliknya manusia itu diciptakan oleh ibu dan ayahnya. Ini kerana mereka mengeluarkan ‘sifir’, bahawa apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, dapatlah anak. 

Lalu, sains membuktikan wujudnya persenyawaan antara sperma daripada air mani lelaki, dan juga ovum daripada perempuan. Fikirkan, sepertimana yang saya nyatakan tadi, bagaimana sperma itu boleh ‘pandai’ untuk mendapatkan ovum, untuk bersenyawa? Siapa yang ajar sperma itu?

Di dalam ayat 5 Surah al-Hajj yang saya nyatakan tadi, Allah S.W.T membuktikan bahawa Dialah yang menciptakan manusia dengan berfirman;

ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ

“… kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami);…” 

(al-Hajj: 5)

Kita semua sedia maklum, bahawa di sana ada bayi yang dilahirkan cacat. Ada yang keguguran di dalam kandungan. Tiada ibu ayah yang inginkan anaknya lahir cacat. Bahkan apabila berlaku keguguran, masing-masing akan bersedih dengan kehilangan tersebut.

Ibu ayah inginkan anak yang cukup sifat, lahir sebagai manusia normal. Justeru, sekiranya yang menciptakan manusia itu adalah ibu dan ayahnya sepertimana dakwaan Atheisme, sudah pasti tiada bayi yang lahir cacat. Ini kerana, ibu dan ayahnya inginkan anak yang cukup sifat. 

Hakikatnya semua orang tahu bahawa bayi boleh sahaja lahir dalam keadaan tak cukup sifat, atau cacat, sekalipun tidak diingini oleh ibu ayahnya. Kecacatan ini bukanlah menjadi hujah bahawa Allah S.W.T itu tidak pandai mencipta, akan tetapi ia menjadi bukti bahawa yang menciptakan bayi itu adalah Allah S.W.T. Bukan ibu dan ayahnya. 

Sebab itulah Allah S.W.T menyebut لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ kerana Allah S.W.T ingin menerangkan kepada kita mengenai kekuasaanNya. Kecacatan yang ada pada bayi, merupakan satu bukti yang jelas bahawa Dialah yang menciptakannya, bukan ibu dan ayahnya.

Banyak lagi hujah untuk membuktikan bahawa Allahlah yang menciptakan alam ini. Antaranya melalui argumentasi yang gagal dijawab oleh Atheisme. Antaranya, siapakah yang mengajar ayam mengeram telurnya? Siapakah yang mengajar burung itu terbang? Kalau mereka jawab ibu burung yang ajar, mana mungkin, kerana ibu burung tiada akal.

Allah S.W.T menciptakan alam yang bersistem

Selain penciptaan manusia yang menjadi bukti bahawa Allahlah yang menciptanya, Allah S.W.T juga membuktikan kehebatanNya melalui penciptaan alam yang luar biasa. Kesemua ciptaan ini boleh dilihat dan dikaji oleh manusia sendiri. Masing-masing ada otak, kajilah sekiranya tidak percaya.

Banyak contoh kehebatan ciptaan alam yang boleh dibuktikan. Antaranya adalah penciptaan planet yang tidak berlaga antara satu sama lain. Peralihan siang dan malam yang berlaku secara teratur, setiap hari 24 jam. Allah S.W.T juga menceritakan mengenai proses turunnya hujan, dan banyak lagi yang boleh dikaji sendiri oleh sesiapa sahaja yang menggunakan otak.

Antaranya Allah S.W.T berfirman;

وَاللَّهُ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَسُقْنَاهُ إِلَىٰ بَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَحْيَيْنَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ كَذَٰلِكَ النُّشُورُ

“Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).”

(Faathir: 9)

Angin, peralihan awan, hujan dan sebagainya telah dibuktikan secara sains. Masing-masing melihat betapa hebatnya sistem aturan Tuhan. Tidak mungkin angin itu ada ‘otak’ yang tersendiri untuk mengenal pasti mana satu tanah yang kering kontang untuk dibasahkan oleh hujan.

Perlu sedar juga, angin atau awan tidak dikawal oleh mana-mana sistem Ai, atau robot. Ia memang diciptakan oleh Allah S.W.T. Sekiranya Atheisme mengatakan ia tercipta secara semula jadi, mana mungkin angin dan awan itu boleh ‘berfungsi’ seperti seseorang yang ada otak.

Justeru, ini membuktikan bahawa semua ciptaan Allah S.W.T ini sungguh teratur dan bersistem. Undang-undang alam itu disusun dengan rapi. Semuanya cukup. Termasuk juga rantai makanan, pembahagian kelas binatang, mangsa dan pemangsa, dan lain-lain. Semuanya cukup makan.

Melainkan ada kerosakan yang dilakukan oleh manusia. Contohnya pemburuan haram yang menyebabkan sebahagian binatang pupus. Lalu terganggulah ekosistem dan sistem pemakanan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sekiranya manusia itu tidak melakukan ‘kezaliman’, alam ini akan ‘beroperasi’ dengan baiknya kerana sistem ini telah diaturkan oleh Tuhan.

Penciptaan alam sebagai bukti

Allah S.W.T mencipta pelbagai planet, bintang dan galaksi. Semuanya teratur dengan baik. Tiada planet yang berlaga antara satu sama lain. Galaksi pula boleh terbentuk dengan wujudnya lohong hitam (black hole). Masing-masing berputar pada paksinya, tanpa perlu diajar, atau diaturkan oleh mana-mana teknologi:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;”

(Ali-Imran: 190)

Kenapa ayat-ayat mengenai penciptaan alam ini dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran? Ini kerana al-Quran itu benar-benar menjadi bukti dan hujah yang rasional untuk difikirkan oleh manusia. Kesemua yang saya huraikan secara ringkas tadi, memberi gambaran bahawa al-Quran itu bersifat ‘real’, bukannya fantasi.

Allah S.W.T bukan hanya sekadar meng’claim’ diriNya sebagai pencipta alam, tetapi membuktikannya secara rasional. Allah S.W.T bukan hanya meng’claim’ ciptaannya itu hebat, tetapi ia boleh dibuktikan secara ‘real’ oleh manusia itu sendiri. Manusia hanya perlu gunakan ‘otak’ sahaja untuk berfikir dan mengkaji sendiri sama ada pembuktian di dalam al-Quran itu benar atau salah.

Sekiranya pembuktian di dalam al-Quran itu salah, buktikanlah. Darwinisme satu ketika dahulu cuba membuktikan kesalahan al-Quran khususnya ayat 1 Surah an Nisa’. Allah S.W.T menyatakan bahawa manusia itu diciptakan daripada Nabi Adam A.S, dan Nabi Adam A.S diciptakan daripada tanah.

Namun, Darwinisme menyatakan bahawa manusia itu tercipta daripada beruk. Sehingga kini teori ini tidak dapat dibuktikan secara saintifik, melainkan dakwaan demi dakwaan. Ustaz Abdullah Nasih Ulwan ada menolak fahaman ini dengan menyatakan sekiranya manusia itu datangnya daripada beruk, mengapa beruk yang ada pada hari ini tidak berubah menjadi manusia?

Bukti sistem tuhan itu terbaik

Hari ini, kita dapati bahawa Islam telah mengemukakan pelbagai solusi terhadap isu-isu manusia. Islam mengharamkan monopoli, sama ada monopoli tanah, monopoli barang dagangan atau monopoli keperluan. Islam menyediakan kaedah kutipan cukai yang betul, iaitu berdasarkan Hadis Nabi S.A.W;

أنَّ الله قد افترض عليهم صدقةً في أموالهم, تُؤْخَذ من أغنيائهم, فتُرَدُّ في فُقرائهم

“Allah S.W.T memfardhukan sedekah (zakat) pada harta mereka, diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka.”

(Muttafaq Alaih)

Islam bukan sahaja menyediakan solusi yang panjang lebar mengenai pengurusan ekonomi, bahkan Islam juga menyediakan undang-undang bagi mengawal manusia, undang-undang kekeluargaan, undang-undang jenayah, undang-undang transaksi dan sebagainya. 

Apabila ada yang memperleceh sistem yang disediakan oleh Allah S.W.T ini, lihatlah bagaimana Allah S.W.T membuktikan sistem alam yang disusun dengan baik. Tak mungkin Allah S.W.T yang mampu mencipta alam semesta ini dengan sistem yang baik, tetapi tak pandai membuat sistem untuk manusia?

Allah S.W.T telah buktikan, Dia bukan sahaja mampu mencipta manusia dan sistem peredaran darah serta antibodi dalam tubuh manusia. Tetapi Dia juga mencipta sistem peredaran planet dan cakerawala yang telah terbukti cukup hebat. Takkanlah Allah S.W.T tak mampu buatkan sistem yang terbaik untuk kehidupan manusia.

Manusia pula, sudahlah tidak mampu mendegupkan jantung sendiri, tiba-tiba boleh pula mempertikai undang-undang Tuhan. Logikkah? Manusia tidak mampu untuk bernafas ketika tidur, melainkan tubuh itu bernafas dengan sendirinya. Sistem tubuh badan inilah yang diciptakan oleh Tuhan. Masih logikkah untuk manusia itu katakan undang-undang Tuhan sudah tidak sesuai?

Kapitalisme contohnya, menganggap sistem ekonomi mereka adalah yang terbaik. Sedangkan realitinya, Allah S.W.T yang mencipta manusia dan segala sistem alam telahpun menyediakan sistem ekonomi. Bahkan, hari ini Kapitalisme sudah terbukti tidak mampu menyelesaikan isu kemiskinan. 

Sistem Islam pernah terbukti berjaya

Dari sudut ekonomi, sejarah Islam telah membuktikan kejayaannya. Khususnya pada zaman Saidina Umar Abd Aziz. Apabila sukarnya untuk mencari orang miskin. Bahkan, para penderma tercari-cari pula orang untuk menerima dermanya. Bukankah ini sudah menjadi bukti yang cukup kuat bahawa sistem ekonomi Islam itu pernah berjaya?

Nabi S.A.W bersabda:

 لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَطُوفُ الرَّجُلُ فِيهِ بِالصَّدَقَةِ مِنَ الذَّهَبِ، ثُمَّ لاَ يَجِدُ أَحَدًا يَأْخُذُهَا مِنْهُ 

“Sungguh akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang berjalan mengelilingi dengan membawa harta sedekah berupa emas, kemudian dia tidak mendapati seorang pun yang mahu menerimanya darinya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Syeikh Mahir Ahmad al-Sufi menghuraikan Hadis ini di dalam Asyrat al-Sa’ah, bahawa harta pernah menjadi melimpah ruah pada zaman Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, bahkan sehinggalah ada seseorang pada zaman beliau menawarkan harta sedekah tetapi tidak didapati orang yang mahu menerima daripadanya.

Ini dari sudut ekonomi. Dari sudut perubatan, Islam melarang pengambilan sesuatu yang memabukkan, kerana memudaratkan kesihatan. Ternyata ianya terbukti pada hari ini. Allah S.W.T menyatakan bahawa arak dan judi itu membawa porak peranda, dan ia terbukti dengan jelas pada hari ini.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

 (al-Maidah: 91)

Terlalu banyak untuk saya kongsikan di sini bahawa sistem dan undang-undang Tuhan itu terbukti terbaik. Ia dibuktikan secara rasional dan real, bukannya sekadar ‘claim’ atau dakwaan fantasi. Allah S.W.T yang mewahyukan agama, dan Dia jugalah yang mengurniakan akal buat manusia. Tak mungkin agama yang bersumberkan daripadaNya, bertembung dengan akal yang dikurniakan olehNya juga.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Tiada ulasan: