22 November 2021

Pas Keluarga Malaysia dilancar, galak guna pengangkutan awam

 

KUALA LUMPUR: Pengenalan Pas Keluarga Malaysia oleh Prasarana Malaysia Berhad diharap dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk beriadah dan mengunjungi lokasi tarikan di Lembah Klang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pas tersebut membolehkan seramai empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga cuma RM15.

Beliau berkata perjalanan melibatkan pengangkutan awam termasuk LRT (Transit Aliran Ringan), MRT  (Transit Aliran Massa) dan monorel kendalian Rapid KL dan BRT (Transit Aliran Bas).

“Ini bermakna setiap seorang dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan BRT di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.

“Inisiatif itu bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika melancarkan pas perjalanan tersebut di sini hari ini. – BERNAMA

Tiada ulasan: