22 November 2021

Jordan berdepan gelombang ketiga COVID-19

 Jordan merekodkan 16 kematian dan 1,855 kes COVID-19 pada Sabtu, manakala 21 kematian dan 3,677 kes dilaporkan pada Jumaat. - Foto AFP

Jordan merekodkan 16 kematian dan 1,855 kes COVID-19 pada Sabtu, manakala 21 kematian dan 3,677 kes dilaporkan pada Jumaat. - Foto AFP

AMMAN: Jordan memasuki gelombang ketiga COVID-19 apabila jumlah jangkitan mencecah 20,000 kes dalam tempoh seminggu.

Kadar jangkitan meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, namun kerajaan masih tidak berhasrat untuk mengenakan semula perintah berkurung dan peraturan lain COVID-19.

Pegawai Kanan Penyakit Berjangkit, Adel Al Belbeisi, berkata jangkitan yang direkodkan pada minggu lalu yang berakhir pada Sabtu meningkat kepada 20,000, berbanding 5,000 pada minggu sebelumnya.

Beliau menyeru komitmen amalan penjarakan fizikal, langkah berjaga-jaga serta meningkatkan kadar vaksinasi kerana sebanyak lapan peratus daripada mereka yang mengambil ujian PCR, didapati positif wabak itu.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Faisal Al Shboul, berkata kerajaan akan mengeluarkan peraturan baharu dalam beberapa hari ini bagi menghadapi keadaan wabak di negara itu yang semakin meningkat.

Katanya, mulai awal tahun depan, sesiapa yang berumur 18 tahun ke atas yang ingin memasuki mana-mana kedai atau jabatan kerajaan wajib menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19.

Ketika ini, hanya 3.6 juta orang di Jordan sudah menerima dos lengkap vaksin.

Seorang guru di sebuah sekolah swasta di Amman yang sudah lengkap vaksin berkata, beberapa kelas rendah di sekolahnya ditutup sejak minggu lalu kerana jangkitan dalam kalangan murid semakin merebak.

"Saya berharap dapat (bertahan) sampai ke cuti pertengahan semester dengan selamat," katanya dalam portal The National.

Jordan sebelum ini mengalami gelombang kedua wabak itu pada suku kedua tahun ini.

Pada Julai lalu, kerajaan menarik kebanyakan sekatan bagi mengekang COVID-19 selepas melihat kepada kesan ekonomi yang semakin merudum.

Pengangguran juga direkodkan pada paras tertinggi iaitu 24 peratus.

Menteri Kesihatan semalam mengumumkan, 14 kematian akibat COVID-19 menjadikan jumlah angka maut direkodkan mencecah 11,361.

Semalam, negara itu merekodkan 3,579 kes jangkitan baharu menjadikan kumulatif 914,849 kes direkodkan setakat ini. - AGENSI

Tiada ulasan: