22 November 2021

Tok Batin, anak buah mengalah terima vaksin

 Batin Razali (tengah) menerima pek makanan selepas program turun padang memberi suntikan kepada Orang Asli di Jerantut. FOTO NSTP/ROSELAN MALIK

PreviousNext

JERANTUT: Tok Batin Kampung Paya Petai dan Kampung Machang berserta anak buahnya akhirnya mengalah dan sanggup menerima suntikan vaksin COVID-19, hari ini.

Batin Kampung Paya Petai, Razali Rengai, 54, mengakui beliau dan 79 penduduk lagi kampung Orang Asli terbabit sebelum ini enggan menerima suntikan vaksin kerana bimbang dengan kesan sampingan akan dialami.

Katanya, selepas mendapati penduduk kampung Orang Asli lain yang jauh pedalaman termasuk di Ulu Tembeling sudah divaksin, mereka akhirnya bersetuju untuk disuntik.

"Malu juga saya, sebab kampung Orang Asli lain walaupun jauh di pedalaman Ulu Tembeling semuanya sudah menerima suntikan.

"Sebenarnya kami takut, apabila dicucuk nanti akan menimbulkan kesan sampingan sehingga kami tak boleh lagi masuk hutan mencari rezeki.

"Tetapi apabila tanya dengan rakan di kampung lain tiada kesan apa-apa, maka hari ini saya dan anak buah bersetuju untuk divaksin," katanya ketika ditemui.

Penduduk Kampung Orang Asli Paya Petai dan Kampung Machang yang terdiri daripada suku Semoqberi adalah perkampungan terakhir menerima suntikan vaksin COVID-19.

Penduduk Orang Asli Kampung Machang pula yang menerima vaksin COVID-19 pula diketuai Batin Teh Chengal.

Seramai 79 orang warga Orang Asli Paya Petai dan Kampung Machang menerima suntikan vaksin jenis Cansino dan Pfizer.

Razali berkata, apabila penduduk kampung melihat sendiri beliau menerima vaksin dan sihat, ia menambahkan keyakinan anak buahnya yang suntikan vaksin adalah selamat.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Mohd Khairi berkata, sehingga kini sambutan Program Immunisasi COVID Kebangsaan (PICK) di Jerantut mendapat sambutan menggalakkan dari ketiga-tiga suku Orang Asli iaitu Bateq, Semoqberi dan Jahut.

Beliau berkata, seramai 1,852 dari 1,913 penduduk Orang Asli yang layak, menerima vaksin lengkap, menjadikan peratusan vaksinasi bagi warga Orang Asli di daerah Jerantut adalah 97 peratus.

"Di Jerantut, kita ada 11 perkampungan Orang Asli kawasan pedalaman dan 10 perkampungan pinggiran. Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA) dari PKD Jerantut datang ke semua perkampungan terbabit supaya vaksin COVID-19 mudah diakses penduduk", katanya.

Dr Amir Faisal berkata, 'Program Turun Padang' hari ini mendapat kerjasama daripada Malaysia Health Diplomacy Society dan Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, memberi sumbangan 100 pek bantuan makanan dan juga 50 pek peralatan sekolah.

Selain itu, 15 sukarelawan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Universiti Malaya (UM) dan Malaysian 4-Wheelers

membuat promosi kesihatan pemakanan dan kebersihan dalam kalangan kanak-kanak.

BHARIAN.

Tiada ulasan: