06 November 2021

Ketika parti lain bergelut, PAS mampu laksana muktamar

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA NERUS:
 Ketika parti-parti politik lain masih bergelut lagi untuk mengadakan mesyuarat tahunan berikutan penularan wabak, namun PAS berjaya mengadakan muktamar tahunannya.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau bersyukur memandangkan PAS yang berjuang berteraskan Islam dapat mengadakan muktamar tahunan yang bermula hari ini.

Katanya, kejayaan mengadakan muktamar itu membuktikan kelancaran dan kecekapan organisasi PAS. 

“Alhamdulillah, semoga ia menjadi satu parti contoh yang ditakdirkan Allah SWT menjadi sebahagian daripada Kerajaan Malaysia, buat kali kedua PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan selepas PRU ke-14.

“Tahniah kepada semua ahli dan penggerak parti kita daripada peringkat cawangan, kawasan sehingga negeri dan pusat,” katanya pada ucapan sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Duyong Marina Resort hari ini.

Namun tambahnya, ahli dan penyokong perlu sedar masih banyak lagi ruang yang perlu diteroka dan ditambahbaik parti itu sebagai sebuah organisasi politik yang bersama-sama menerajui Kerajaan Malaysia.

Katanya, tanggungjawab dan amanah yang dipikul PAS dalam Kerajaan Persekutuan dan tiga kerajaan negeri untuk membina sebuah negara berkebajikan ‘baldatun toyyibah waghabbun ghafur’.

Katanya, dalam sistem demokrasi, kerajaan yang stabil, berkhidmat untuk rakyat, dengan didukungi blok parti yang kuat dan cekap.

“Apabila sudah berkerajaan, yang utama bagi kita adalah ‘walk the talk’, menjadi teladan melaksanakan apa yang diperkatakan,” ujarnya.

Katanya juga perjuangan PAS seumpama sebuah bangunan yang teguh kukuh hasil komponen-komponen di dalamnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Kata beliau bangunan kekal kukuh selagi mana aturan dan peranan itu dipatuhi oleh batu-bata serta komponen yang melengkapinya.

“Begitu juga di dalam PAS sebagai sebuah organisasi gerakan politik Islam, kita sebagai ahli adalah batu-bata yang ada aturan serta peranan masing-masing.

“Memahami, menjaga dan menjalankan peranan ini sebaiknya adalah kunci sebuah bangunan perjuangan Islam yang kukuh bernama Parti Islam Se-Malaysia (PAS),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Tiada ulasan: