06 November 2021

Pengerusi PN ditetapkan seorang wakil parti komponen

 

KUALA NERUS: Penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang dibuat ketika awal penubuhannya mengikut peruntukan undang-undang selaras dengan Akta Pertubuhan yang mempunyai senarai perjawatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan undang-undang itu menjelaskan tiada peruntukan bagi jawatan pengerusi atau presiden secara bersama.

Katanya, parti kompenan PN mesti melantik salah seorang sebagai pengerusi dan parti lain pula sebagai timbalan.

“Jadi telah dipersetujukan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai pengerusi dan parti-parti lain pula dilantik sebagai timbalan pengerusi,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Sebelum itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kelabakan Kadarisman Kadiran mempersoalkan mengapa di Sabah, jawatan pengerusi PN di negeri itu sepatutnya sebagai pengerusi bersama.

Menjawab mengenai Piihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lepas di mana PAS tidak bertanding, kata Takiyuddin ia adalah hasil perundingan dengan PN.

Katanya PN di Sabah termasuk membabitkan STAR, Bersatu dan PBS, namun PAS diberi akujanji untuk dilantik sebagai Adun selepas tidak diberi kerusi bertanding.

“Sepatutnya PAS boleh bertanding sehingga 10 kerusi di Sabah. Namun selepas itu akujanji itu ditunaikan PN Sabah, di mana seorang pemimpin PAS dilantik sebagai Adun yang dilantik,’ katanya.

Mengenai tiada orang Sabah yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, katanya tiada peraturan khusus bagi melantik AJK sebagai mewakili negeri-negeri tertentu.

Menurutnya AJK yang dipilih ada muktamar hanya 18 orang, manakala enam orang lain dilantik dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Jadi tidak ada dalam perlembagaan PAS untuk melantik AJK PAS Sabah atau mana-mana negeri secara khusus,” ujarnya.

Ketika mengambil kesempatan membahas laporan muktamar Kadarisma turut menyerah memorandum kepada Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Situasi itu menyebabkan dewan muktamar menjadi gamat seketika, memandangkan sebelum itu Kadarisman membangkit isu tersebut agak panjang seolah membahas usul. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Tiada ulasan: