06 November 2021

Khairy arahkan penguatkuasaan SOP lebih tegas di Kelantan

 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilihat di pembukaan klinik kesihatan di Penambang, Kota Bharu hari ini. Beliau berkata, kadar pematuhan SOP di negeri itu rendah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penguatkuasaan peraturan Covid-19 akan dipertingkatkan di Kelantan memandangkan kadar kepositifan tinggi di negeri itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media di Kota Bharu hari ini, beliau melihat SOP kurang dipatuhi ketika lawatan ke negeri itu.

“Strategi kita adalah untuk meningkatkan penguatkuasaan SOP di Kelantan.

“Saya lihat Kelantan antara negeri dengan bilangan tertinggi kes kompaun. Mungkin penguatkuasaannya aktif tetapi pematuhan SOP tidak,” katanya, dengan menambah perkara itu perlu diperbaiki.

“Dalam lawatan sehari saja di sini pun saya dapat lihat pematuhan SOP tidak begitu baik dalam kalangan rakyat Kelantan.”

Selain kadar kepositifan tinggi di Kelantan, Khairy berkata kadar kepositifan bagi mereka yang bergejala juga “agak tinggi” iaitu hampir 40%.

Berhubung pemerolehan vaksin bagi mereka berusia bawah 12 tahun, beliau berkata ada maklumat daripada Pfizer yang masih dinantikan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Kerajaan masih berunding dengan syarikat farmaseutikal itu berhubung syarat tertentu.

Selain itu, Khairy berkata kementeriannya tidak berhasrat memperoleh vaksin Covid-19 keluaran syarikat India Bharat Biotech, yang pada awal minggu ini mendapat lampu hijau untuk kegunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa 31 projek pembangunan kemudahan kesihatan di Kelantan telah diluluskan di bawah rancangan boleh pindanya dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), melibatkan kos RM623 juta.

Tiada ulasan: