06 November 2021

PAS pastikan calon berwibawa sertai pilihan raya

 

KUALA NERUS: PAS akan memastikan semua calon yang menyertai pilihan raya adalah individu yang berwibawa.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata amat sukar untuk mencari seorang tokoh yang kuat iman, budiman, tinggi ilmu, dan banyak pengalaman.

Akan tetapi, ujarnya, PAS boleh memilih pimpinan secara kolektif (jama‘i), yang sifatnya saling melengkapi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang bertemakan Islam Menyatukan UMmah di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

“Perkara yang paling penting, seorang pemimpin itu hendaklah beristiqamah dengan parti, berintegriti, berakhlak mulia, mempunyai aqidah yang kuat, dan bertahan dengan parti.

“Ciri-ciri ini adalah sangat penting yang mesti kita pilih. Kalangan yang berwibawa dalam PAS tidak akan tercicir kerana konsep kerajaan teknokrat yang kita telah perkenalkan tetap memberi tempat masing-masing, tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja,” katanya.

Di samping itu, tambah beliau mereka yang menjadi calon pula mestilah sedia berkorban menghadapi segala kemungkinan apabila ditugaskan. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Tiada ulasan: