06 November 2021

PRN Melaka penentu PRU15, beri makna besar kepada Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi makna besar kepada Malaysia.

Menurutnya, ia menjadi penentu kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menegaskan pilihan raya bukan hal main-main tetapi sebuah langkah untuk menyelamatkan negeri dan rakyat.

Ujarnya, rakyat merasai pemerintahan Perikatan Nasional berbanding Pakatan Harapan dengan menjalankan tanggungjawab sebaiknya sepanjang negara dilanda wabak pandemik Covid-19.

“Pilihan raya adalah penentu masa depan kita, termasuk (PRN) Melaka, pilihan raya bukan boleh dimain-main. Pilihan raya adalah satu langkah untuk selamatkan negeri dan rakyat,” ujarnya menerusi rakaman video dalam Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional dan Penyerahan Watikah Pilihan Raya Negeri Melaka di Ballroom Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam, petang tadi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional berkata, dalam masa yang singkat Perikatan Nasional telah memerintah dengan sebaiknya membuktikan khidmat kepada rakyat walaupun tanpa sebarang janji.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan 28 nama calon Perikatan Nasional yang terdiri daripada 15 (Bersatu), lapan (PAS) dan lima (Gerakan).

Lapan calon daripada PAS, Aziah Mohd Sa’ad (Kuala Linggi), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abd Alim Shapie (Merlimau),dan Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam).

Lima calon daripada Gerakan, Dhanesh a/l Basil (Asahan), Datuk Seri Micheal Gan Peng Lam (Ayer Keroh), Patrick Ng Chin Kae (Kesidang), Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir), dan Fong Khai Ling (Kota Laksamana).

Calon daripada Bersatu, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Tanjung Bidara), Dr Nordina Abd Latif (Ayer Limau), Mejar (B) Abdullah Mahadi (Lendu), Zamzuri Arifin (Rembia), Mohd Amir Fitri Muharam (Gadek), Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang), Mohamad Ridzwan Mustafa (Pantai Kundor), Muhammad Fariz Izwan Mazlan (Paya Rumput), Mohd Azrudin Md Idris (Pengkalan Batu), Mohd Fadly Samin (Ayer Molek), Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen (Telok Mas), Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban), Azalina Abdul Rahman (Rim), Muhammad Jefri Safry (Rambai),

Manakala satu-satunya calon bersekutu dengan Bersatu, Tai Siong Jiul (Machap Jaya).

Turut hadir pada majlis terbabit, Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Tiada ulasan: