06 November 2021

Menteri nafi dakwaan Malaysia tidak sertai UNFCCC COP 26

 

KUALA NERUS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya, Malaysia tidak menyertai Persidangan Ke-26, Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP 26) yang diadakan di Glasgow, Scotland.

Malah, menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Kabinet Malaysia telah bersetuju dan menghantar Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang di peringkat jawatankuasanya.

Menurutnya, pada persidangan itu Malaysia juga bersetuju untuk menandatangani dua deklarasi yang berkaitan.

“Kerajaan telah pun membuat keputusan bahawa kita menyertai (COP26). Dia ada beberapa peringkat dan peringkat menteri akan bermula pada 8 hingga 12 November ini.

“Jawatankuasa perundingan telah pun pergi dan telah mengadakan sesi perundingan awal. Malaysia telah pun memutuskan untuk menandatangani dua deklarasi iaitu pertama, tentang hutan dan kedua, mengenai pelepas asap menjelang 2030 nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Dewan Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.

“Sebab, ada pihak yang mendakwa kononnya Malaysia tidak menghantar perwakilan. Sebenarnya, kita (Malaysia) telah hantar pun, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, bersama dengan teamnya di peringkat jawatankuasa. Peringkat menteri, saya sendiri akan hadir, insya-Allah,” jelasnya.

Menurut beliau, akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi UNFCCC COP 26 yang sedang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula 31 Oktober hingga 12 November ini.

Harakahdaily dimaklumkan, Malaysia akan menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders’ Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge) bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Tiada ulasan: