06 November 2021

Dron tidak dibenarkan terbang ketika PRN Melaka

 

HAZANI Ghazali ketika sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA 

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mewartakan kawasan larangan menerbangkan dron di Melaka sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN), Isnin depan.  

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, usaha itu dilakukan selepas mengambil kira ia boleh menjadi ancaman dan provokasi sepanjang PRN. 

Jelasnya, selain risikan atau pencerobohan privasi, antara bentuk ancaman lain yang dikhuatiri akan digunakan sebagai senjata termasuk membawa cecair berbahaya atau insiden terhempas. 

“Kita telahpun berbincang dan akan mengemukakan permohonan mahkamah pada Isnin ini untuk mewartakan kawasan larangan menerbangkan dron di Melaka sepanjang PRN berlangsung. 

“Kita lihat dron ini boleh menjadi ancaman dan provokasi kerana ia boleh dijadikan senjata, tidak kiralah bawa gas atau cecair berbahaya atau sengaja dihempaskan terhadap kumpulan tertentu disebabkan rasa ketidakpuasan hati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali dan Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah.

Tambahnya, permohonan itu juga akan diperhalusi bersama Jabatan Peguam Negara dan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum dikemukakan ke mahkamah oleh Abdul Majid. 

Mengulas lanjut, Hazani berkata, sekiranya ada pihak yang ingin menerbangkan dron, mereka mestilah mendapatkan permit daripada pasukan keselamatan dan CAAM. 

“Kita bagi juga kebenaran untuk terbangkan dron tetapi mereka perlu dapatkan permit yang sah dan mengikuti syarat serta kaedah tertentu termasuk kilometer atau radius penerbangan.

“Permohonan permit dengan spesifikasi dron ini penting bagi tujuan pemantauan jumlah dron dan sekiranya kita kesan dron yang tidak dikenali, tindakan lanjut akan dilaksanakan bagi menjaga ketenteraman awam,” tegasnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: