13 Disember 2021

3 kaki seleweng minyak masak ditahan

PEGAWAI KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim memeriksa minyak masak bersubsidi yang dirampas. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
PEGAWAI KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim memeriksa minyak masak bersubsidi yang dirampas. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti menyeleweng minyak masak bersubsidi sehingga bekalan terkawal itu terjejas teruk di sini berjaya diberkas dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, hasil risikan bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan, serbuan pertama dilakukan di kawasan Batu 14, kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu, suspek berumur 68 tahun yang sedang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan dan pemeriksaan berjaya menemukan 25 tong berisi minyak masak.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki lesen runcit dan berniaga barang kawalan itu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim. 

Menurut Mohamed Rafiq, serbuan kedua dilakukan ke atas sebuah rumah di kawasan sama yang disyaki dijadikan stor haram pengumpulan minyak masak.

"Sebaik anggota serbuan tiba, seorang lelaki, berumur 34 tahun cuba melarikan diri tetapi menyerah diri selepas mendapati kawasan itu sudah dikepung pihak berkuasa.

"Seorang lagi suspek berumur 43 tahun yang mengaku pemilik stor berkenaan turut diberkas," katanya.

Menurutnya, minyak masak berkenaan dipercayai diseleweng untuk dijual kepada kilang membeli minyak mentah.

"Namun perbuatan semua dilaporkan menyebabkan bekalan minyak masak di Sandakan tidak mencukupi.

"Semua suspek ditahan dan barangan seperti lori, kunci lori, tangki air, telefon bimbit dirampas. Ia dianggarkan bernilai RM97,500 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Mengulas mengenai hasil operasi PGA Batalion 20 tahun ini, beliau berkata, pihaknya berjaya menghasilkan 123 tangkapan dengan nilai rampasan RM2.7 juta membabitkan pelbagai kes.

"Sepanjang tahun ini kita berjaya melakukan 123 tangkapan membabitkan rampasan sebanyak RM2.7 juta," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: