13 Disember 2021

Muafakat Nasional: Hubungan melalui parti, bukan individu

 

KUALA TERENGGANU: Pelbagai desas-desus timbul berhubung masa depan Muafakat Nasional selepas Umno dilihat tidak mahu bersama PAS dan Bersatu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Malah ada spekulasi yang menganggap gagasan yang dicetuskan antara PAS dan Umno pada September 2019 itu semakin suram selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun perkara itu dinafikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyifatkan usaha penyatuan tersebut masih berjalan bagi memastikan sokongan Melayu Islam terus memerintah.

“Insya-Allah boleh selamat, masih hidup lagi tidak dikuburkan,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Ulang Tahun PAS ke-70 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini petang tadi.

Malah Ahli Parlimen Marang itu menganggap hubungan bersama Umno di bawah piagam Muafakat Nasional masih berlangsung melalui parti bukannya individu.

“Hubungan dengan orang Umno masih baik secara umumnya, bukan individu-individu, kita anggap Umno itu bukan parti individu kerana dia Umno ada ramai lagi pimpinan dalam Majlis Tertingginya.

“Kenyataan saya ini tidak tuju kepada sesiapa. Saya tuju dalam gelap, kalau kena…kena, tidak kena… tidak,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

Tiada ulasan: